AM

Lumpuh Tidak Patahkan Semangat Muhammad Izzat Genggam Diploma

07/12/2023 09:05 PM

BATU PAHAT, 7 Dis (Bernama) -- Lumpuh sejak lahir dan memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak tidak pernah mematahkan semangat Muhammat Izzat Hanafi Suhaili untuk meraih impian menggenggam segulung diploma. 

Pemuda berusia 21 tahun itu menghidap masalah atropi otot spina atau muscle deterioration sejak lahir hingga mengakibatkan otot di anggota badannya terutama kaki dan tangan mengecil serta perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Muhammad Izzat, yang memulakan pengajian dalam bidang teknologi maklumat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh pada 2019, berkata dua kali dia hampir berhenti belajar kerana sukar untuk pergi ke kelas.

“Malah, pada Mac 2020 saya hilang semangat untuk belajar apabila kehilangan ayah (Suhaili Othman). Mujur ibu memujuk saya untuk terus belajar hingga tamat dan akhirnya memperoleh diploma pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Keenam Istiadat Konvokesyen ke-23 UTHM di sini hari ini..

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata ibunya,  Zainab Othman, 64, sanggup berulang-alik kira-kira 60 kilometer (km) bagi menghantarnya ke kelas dan lebih kurang 90km ketika dia menjalani latihan praktikal selama enam bulan.

Menurutnya ketika di dalam kelas, pensyarah dan rakan-rakannya banyak membantu selain memberikan kata-kata semangat termasuk ketika menyiapkan tugasan yang diberikan.

Muhammad Izzat berkata semasa penularan pandemik COVID-19, dia menghabiskan tiga semester belajar di rumah kerana tiada kelas bersemuka dan sekali lagi, ibunya yang juga pesara guru banyak membantu.

“Setelah tamat pengajian dan selesai konvokesyen, saya bercadang untuk mencari kerja yang sesuai dengan kelulusan dan keadaan saya. Jika boleh pekerjaan itu ada kaitan dengan teknologi maklumat,” katanya.

Sementara itu, Zainab berkata anaknya itu sememangnya seorang yang pintar belajar malah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), cuma keadaan fizikalnya sahaja yang berbeza dengan insan lain.

“Saya berharap dia tidak patah semangat dan mampu meneruskan cita-citanya untuk menyambung pengajian seterusnya menggenggam segulung ijazah satu hari nanti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan