AM

Kes Covid-19 Di Johor Terkawal - Exco

07/12/2023 05:25 PM

PASIR GUDANG, 7 Dis (Bernama) -- Kes jangkitan COVID-19 di Johor adalah terkawal dan tidak berlaku sebarang peningkatan kes yang ketara, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon.

Beliau berkata setakat minggu lepas, hanya 41 kes baharu dilaporkan dengan penggunaan katil di hospital melibatkan kes COVID-19 adalah di bawah lima peratus.

Mengulas trend peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Malaysia dan Singapura sejak kebelakangan ini, Ling berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menggalakkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan memakai pelitup muka terutama di kawasan tumpuan.

“Mereka yang berisiko tinggi dan ada penyakit kronik perlu berwaspada, lebih-lebih lagi jika berada di kawasan tumpuan orang ramai.

“Meskipun tiada peningkatan kes ketara, sebaiknya ikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Lounge Pesakit Antarabangsa Hospital Pakar Regency di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata 3,626 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 iaitu dari 19 hingga 25 Nov, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan jumlah jangkitan COVID-19 di republik itu meningkat dua kali ganda kepada 22,094 kes antara tempoh 19 hingga 25 Nov, berbanding 10,726 kes minggu sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Ling berkata JKNJ mengambil langkah persediaan bagi menghadapi banjir termasuk memindahkan pengoperasian klinik kesihatan yang berisiko ke sebuah dewan bagi memastikan perkhidmatan tidak terganggu. 

“Kita sudah ada pelan tindakan bagi menghadapi banjir. Sebagai langkah berjaga-jaga, peralatan di klinik kesihatan akan diletakkan di kawasan yang tinggi untuk elak daripada rosak,” katanya.

Beliau berkata JKNJ juga bersedia melakukan pemantauan dan pemeriksaan kesihatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan