AM

Sultan Johor Berkenan Terima Menghadap Bintang Filem China Fan Bingbing

07/12/2023 12:14 AM

JOHOR BAHRU, 6 Dis (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima menghadap bintang filem terkemuka China, Fan Bingbing.

Dalam satu hantaran di akaun Facebook rasmi baginda menyatakan artis wanita yang menjadi ikutan ramai di peringkat global, menghadap Sultan Ibrahim sebagai sebahagian daripada programnya sempena Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-34.

Urusan menghadap baginda itu dimudah cara oleh pengurus antarabangsa beliau, Jersey Chong,  seorang anak Johor yang mahu memperkenalkan artis itu kepada bakal Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

“Sebagai Anak Johor, saya rasa amat bangga Sultan saya akan menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Kami menulis surat secara rasmi untuk memohon sama ada Bingbing boleh menghadap baginda. 

Kami rasa teruja apabila menerima jawapan daripada Tuanku Sultan yang berkenan menerima menghadap Bingbing,” kata Chong kepada Royal Press Office di sini, menurut hantaran di Facebook itu. 

Bintang filem itu ditemani ibunya, Zhang Chuanmei, seorang usahawan, menurut hantaran itu.

Selain Bingbing, adik lelakinya  Fan Chengcheng juga seorang penyanyi pop dan pelakon terkenal di China.

Bingbing yang mempunyai 63 juta pengikut dalam Weibo ( platform media sosial di China mirip X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter) dan 4.1 juta pengikut Instagram, lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.  

Daya tarikan pecah panggungnya melangkaui filem China, dan pernah membintangi filem adiwira Hollywood - “X-Men: Days of Future Past”, selain daripada filem Perancis dan Korea.

Sebagai seorang daripada artis wanita dunia yang mendapat bayaran tertinggi, Bingbing juga mengusahakan agensi pengurusan artisnya sendiri, sebuah syarikat pengeluar filem dan Fan Beauty - satu jenama kosmetik dan penjagaan kulit yang mendapat kejayaan besar di China.

Beliau juga menghiasai iklan Adidas, Louis Vuitton dan Moet, selain daripada produk gincu bibir hingga ke berlian.

Pada 2017, majalah Time memilih beliau untuk menghiasi kulit majalah itu. Beliau juga dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh Global, menjadikan Bingbing sebagai satu-satunya artis wanita  Asia yang  terpilih.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan