AM

HPPK 2023: KONSEP KARNIVAL DIPILIH RAIKAN PENJAJA, PENIAGA KECIL

06/12/2023 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Pemilihan konsep karnival sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2023 (HPPK 2023) selama tiga hari bermula esok di Buhavan Square, Penampang di Sabah, untuk meraikan penjaja dan peniaga kecil di negeri itu, yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu kenyataan memaklumkan tema bagi HPPK 2023 ialah ‘Penjaja dan Peniaga Kecil Nadi Ekonomi Madani’, kerana kumpulan itu merupakan sebahagian daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), yang menjadi tulang belakang dan nadi ekonomi MADANI.

“Tema dipilih ini, selaras dengan konsep penjaja dan peniaga kecil yang mampu memberikan sumbangan sangat bermakna, dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Golongan penjaja dan peniaga kecil ini, yang akan terus merangsang persaingan, menjana pekerjaan, menggalakkan permintaan domestik, peneraju bagi kemampanan dan pertumbuhan ekonomi keseluruhannya,” menurut kenyataan KUSKOP, hari ini.

Menurut kenyataan KUSKOP, Karnival HPPK 2023 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Antara pengisian sepanjang sambutan itu ialah jualan usahawan daripada kelompok penjaja dan peniaga kecil, usahawan tamu dan usahawan trak makanan yang menawarkan pelbagai kategori jualan, seperti makanan dan minuman, kraftangan, pakaian dan lain-lain.

Selain itu pameran daripada kementerian dan agensi kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan swasta, sesi bicara interaktif melibatkan pelbagai agensi dan usahawan terpilih termasuk, Sesi Onboarding MyMall yang merupakan platform bersepadu perniagaan dalam talian, serta kaunter perkhidmatan seperti kesihatan, keselamatan termasuk majlis daerah.

Turut diadakan ialah aktiviti untuk setiap lapisan masyarakat seperti Pertandingan Mewarna Kelab Nuri, pertandingan karaoke, zumba, pertandingan dan bengkel memasak, e-sukan dan aktiviti mencari harta karun.

KUSKOP turut memaklumkan, pengunjung terutamanya usahawan dan bakal usahawan boleh mendapatkan khidmat nasihat, bantuan atau penjelasan secara bersemuka daripada pelbagai kementerian atau agensi yang membuka reruai sempena HPPK 2023.

Sementara itu, KUSKOP dalam kenyataan itu turut memaklumkan, antara perancangan jangka panjang kementerian itu dalam usaha membantu pertumbuhan penjaja dan peniaga kecil di Malaysia ialah dengan pengenalan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023–2027, yang merupakan satu dokumen perancangan strategik.

P3PK 2023–2027 dirangka berpaksikan lima teras strategik dan disokong 17 strategi serta 29 inisiatif yang dipercayai mampu memberikan nilai tambah kepada intervensi kerajaan dalam memperkasakan komuniti penjaja dan peniaga kecil.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan