EKONOMI

Cop28: Malaysia Tekankan Kepentingan Ekonomi Kitaran Dalam Pengurusan Sisa

06/12/2023 10:16 PM

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 6 Dis (Bernama) -- Malaysia menekankan kepentingan peralihan daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pada mesyuarat peringkat menteri berhubung Perbandaran dan Perubahan Iklim di Persidangan Pihak-Pihak ke-28 (COP28) di sini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang mempengerusikan bersama mesyuarat itu, berkata penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Nasional Malaysia akan menyelia pelaksanaan dan kemajuan sektor ekonomi yang sedang pesat membangun ini.

“Malaysia giat melaksanakan inisiatif berimpak tinggi untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal seperti Pusat Kitar Semula Pandu Lalu apabila orang ramai boleh menukar sampah kepada insentif tunai.

“Teknologi sisa kepada tenaga juga merupakan penyelesaian yang berdaya maju untuk Malaysia mengurangkan sisa pepejal,” katanya.

Menurut Nga, mobilisasi yang lemah dan kekurangan ketelusan dalam pembiayaan iklim menghalang negara membangun daripada mencapai inisiatif mitigasi dan adaptasi.

“Ini adalah masalah global yang memerlukan komitmen global untuk segera merangka pelan peralihan untuk menggunakan tenaga boleh baharu dan membantu membiayai negara-negara yang mudah terjejas.

“Malaysia mengulangi kenyataan mengenai kepentingan ketelusan dan mobilisasi segera dana kerosakan dan kerugian untuk memperkasakan sepenuhnya bandar dan kerajaan tempatan yang mudah terjejas, untuk berada di barisan hadapan (memerangi) krisis iklim ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan