DUNIA

Unesco Perakui Songkran Sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan

06/12/2023 09:47 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 6 Dis (Bernama) -- Songkran, perayaan Tahun Baharu tradisional Thailand, mendapat pengiktirafan dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH).

Keputusan itu dibuat pada sesi ke-18 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara, yang berlangsung di Kasane, Botswana pada Rabu.

Songkran disambut dari 13 hingga 15 April setiap tahun sebagai menandakan permulaan Tahun Baharu Thailand. Perayaan ini terkenal dengan aktiviti meriah menyimbah air serta perarakan berwarna-warni.

Penyertaan 'Songkran in Thailand' dalam senarai berprestij ini disambut baik oleh Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.

“Songkran di Thailand mewakili warisan budaya tidak ketara, mencerminkan kepelbagaian budaya dan kreativiti manusia untuk mencapai matlamat pembangunan mampan.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan menekankan bahawa pengiktirafan itu merupakan detik yang membanggakan bagi Thailand, menyumbang secara signifikan kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap nilai dan kepentingan Songkran sebagai warisan budaya tidak ketara.

Pengiktirafan itu akan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam mempromosi pembelajaran, akses, pembangunan dan melindungi warisan budaya itu untuk generasi akan datang. Ia juga menekankan peranan kerjasama antarabangsa dalam menjaga warisan budaya tidak ketara merentasi pelbagai domain.

Dengan pengiktirafan terbaru itu, Thailand kini mempunyai empat elemen dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan - Khon Masked Dance Drama (2018), Nuad Thai (2019), Nora Dance Drama (2021), dan Songkran in Thailand (2023).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan