AM

Promosi Tmm2024: Delegasi Melaka Lawat Stesen Radio Dan Televisyen Guangxi

06/12/2023 09:08 PM

MELAKA, 6 Dis ( Bernama) -- Kerajaan  Melaka terus menggandakan usaha mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di luar negara, termasuklah mengadakan kunjungan ke Stesen Radio dan Televisyen Guangxi di China, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengetuai delegasi kerajaan negeri Melaka ke China itu berkata kunjungan tersebut penting, dalam membincangkan bentuk kerjasama khususnya siaran langsung pelancaran kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), pada malam 31 Dis nanti.

“Kedatangan pelancong dari China khususnya Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi cukup penting, dalam usaha membantu mencapai sasaran jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Melaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya di sini hari ini.

Ab Rauf dan delegasi Melaka yang turut disertai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Penasihat Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Datuk Lim Ban Hong ke Wilayah Autonomi Guangxi dan Wilayah Guangdong, berada di selatan China selama lima hari bermula semalam.

Ab Rauf berkata beliau turut optimis dengan pengecualian visa bermula 1 Dis lalu, di samping promosi agresif sempena TMM2024 dengan sasaran sejumlah 15 hingga 18 juta pelancong, akan melawat Melaka pada tahun depan mampu dicapai, khususnya disumbangkan melalui peningkatan jumlah pelancong dari China.  

Beliau berkata sehingga Oktober tahun ini, Melaka merekodkan sejumlah 5.3 juta pelancong termasuk 1.7 juta pelancong yang bermalam, manakala 3.5 juta orang pengunjung harian, dengan 4.5 juta atau 84.4 peratus merupakan pelancong domestik sementara 862,293 atau 15.5 peratus pelancong antarabangsa, termasuk 145,700 pelancong dari China.

Dalam pada itu Ab Rauf berkata menerusi Misi Pelaburan dan Promosi Pelancongan Kerajaan Negeri Melaka, kerajaan negeri turut mengintai peluang pelaburan baharu pelbagai sektor, termasuk pelancongan yang mana ia merupakan usaha untuk menarik pelaburan selain memperkasa sektor pelancongan yang menjadi misi utama delegasi Melaka ke wilayah itu.

Ab Rauf berkata kunjungan itu juga, susulan lawatan kerja diadakan Tuan Yang Terutama Wilayah Autonomi Guangxi Miao Qing Wang ke Melaka pada 19 Okt lalu, dan beliau secara peribadi turut mempelawa  Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi untuk meningkatkan kerjasama dalam pertukaran budaya, seterusnya saling meningkatkan pertumbuhan ekonomi di antara dua bandar raya.

“Kerajaan Negeri Melaka optimis untuk menyasarkan lebih banyak peluang pelaburan baharu dari kumpulan pelabur dari wilayah itu serta mahu memperkenalkan Negeri Melaka sebagai hab dalam bidang kenderaan elektrik dan industri automotif cekap tenaga.

“Pada masa yang sama, saya juga mahu meneruskan kerjasama lebih erat dalam bidang pelancongan, seterusnya mempergiatkan kempen promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kepada pelancong dari Republik China,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan