AM

Bacaan Kali Kedua Ruu Kecekapan Dan Konservasi Tenaga, Bekalan Elektrik Ditangguh

06/12/2023 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 dan RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023 ditangguh oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada sesi sidang Dewan Negara kali ini.

Senator Datuk Ahmad Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata penangguhan itu berikutan permohonan beliau dan tujuh lagi Ahli Dewan Negara kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk membuat pindaan kepada RUU berkenaan.

Beliau berkata ini kerana ia tidak memastikan hak yang sama diberikan kepada Sarawak seperti yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Setelah salinan RUU itu diedarkan kepada Ahli Dewan Negara, penelitian kami mendapati bahawa RUU ini membenarkan Menteri NRECC (Nik Nazmi Nik Ahmad) untuk memanjangkan penggunaannya ke atas Sarawak.

"Tindakan ini adalah tidak selari dengan praktis terdahulu oleh Kerajaan Persekutuan iaitu seperti Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990, penggunaannya tertangguh kepada Sarawak," katanya.

Beliau berkata susulan cadangan pindaan, Yang Dipertua Dewan Negara hari ini telah memaklumkan bahawa kedua-dua RUU akan diselaraskan semula melalui libat urus NRECC bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

"Kami menyambut baik penangguhan oleh pihak NRECC yang mengambil perhatian kerisauan kami terhadap kelompongan ini yang terkait dengan kuasa autonomi Sarawak di dalam bidang elektrik dan juga kepelbagaian sumber tenaga yang ada di Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan