DUNIA

Empat Negara Asean Alami 26 Bencana Minggu Lepas - Pusat Aha

05/12/2023 07:24 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Dis (Bernama) -- Empat negara ASEAN - Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand - menyaksikan 26 kejadian bencana minggu lepas, menurut Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).

Agensi pengurusan bencana Indonesia BNPB melaporkan banjir, tanah runtuh dan kejadian berkaitan angin di Aceh, Banten, Jakarta, Jawa Barat, Jawa Timur, Lampung, Sumatera Barat dan Sumatera Utara.

Selain itu, aktiviti letusan gunung berapi Gunung Marapi di Sumatera Barat turut dilaporkan pusat itu dalam maklumat terkini mingguannya.

Setakat Isnin, impak aktiviti gunung berapi mengakibatkan 11 maut, 26 orang hilang dan sembilan cedera, dengan pihak berkuasa mengambil tindakan yang perlu untuk menangani situasi itu.

AHA Center berkata pengurusan bencana Filipina NDRRMC merekodkan insiden banjir di Wilayah II dan XI, serta gempa bumi berukuran 7.4 magnitud di Surigao del Sur pada 2 Dis.

Institut gunung berapi negara, PHIVOLCS, juga melaporkan 1,279 gempa susulan bermagnitud antara 1.4 hingga 6.6.

Gempa bumi itu telah menjejaskan 2,600 individu daripada 529 keluarga, seorang maut dan dua cedera manakala enam rumah dan dua jambatan rosak.

Di Malaysia, agensi pengurusan bencana NADMA melaporkan banjir di Johor dan Kelantan, manakala Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana di Thailand melaporkan kejadian angin kencang dan banjir di beberapa kawasan di wilayah Selatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan