AM

Utm Universiti Pertama Miliki Telaga Air Akuifer Batuan Di Malaysia

05/12/2023 03:36 PM

JOHOR BAHRU, 5 Dis (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi universiti pertama di Malaysia memiliki telaga air akuifer batuan (subs: rock aquifer tubewell) sendiri sebagai sumber alternatif bekalan air bersih.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata telaga sedalam 158 meter itu akan menghasilkan air dengan nilai larutan berasid (ph) 7.8 dan mampu mengeluarkan satu juta liter air sehari sekali gus dapat menampung keperluan warga kampus.

Beliau berkata projek cetusan lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi UTM yang menggunakan sistem teknologi membran itu dapat mengurangkan kebergantungan sumber sedia ada serta menjimatkan kos utiliti penggunaan air di kampus.

“Ini merupakan telaga air akuifer batuan pertama di Malaysia yang dijumpai dalam UTM, dengan jumlah satu juta liter sehari dan ia dapat memanfaatkan kira-kira 7,000 orang pengguna.

“Hasrat UTM, projek ini dapat dikembangkan lagi kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan dan jana pendapatan termasuk untuk membotolkan sumber air ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Telaga Air Akuifer Batuan UTM di universiti berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata projek itu juga digerakkan melalui inisiatif pembangunan sumber air bawah tanah hasil penyelidikan tenaga pakar UTM, yang kini berjaya direalisasikan dengan pewujudan telaga air akuifer batuan, susulan penemuan sumber air berkenaan pada 2021.

Ahmad Fauzi berkata telaga air akuifer batuan itu terletak di dalam hutan rekreasi UTM yang berkeluasan 3.5 kilometer persegi dan kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna serta pokok hutan tropika bernilai tinggi, yang ditanam melalui kerjasama UTM dan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) pada 2015.

Justeru, beliau berkata lokasi kawasan penemuan telaga air akuifer batuan itu sekali gus sesuai untuk dijadikan sebagai produk tarikan utama yang baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan