KOTA TINGGI, 5 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan tiga kapal pengangkut kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur di sini, semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata kapal pertama membawa kontena yang berdaftar di Pelabuhan Klang, Selangor itu ditahan bot ronda APMM di kedudukan 19.8 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, pada 11.30 pagi.
Beliau berkata kapal kedua yang didaftarkan di Bridgetown, Barbados pula ditahan di kedudukan 18.1 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, pada waktu yang sama.
"Kapal ketiga yang berdaftar di Copenhagen, Denmark dan membawa kontena itu ditahan di kedudukan 21.5 batu nautika timur Tanjung Balau pada 5.30 petang.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua nakhoda kapal terbabit didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia dan kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Najib berkata penahanan ketiga-tiga kapal itu merupakan kes ke-86 tahun ini atas kesalahan yang sama iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
"APMM akan terus komited dalam menangani aktiviti kapal yang bersauh tanpa kebenaran khususnya di perairan Johor Timur dan akan terus mempergiat usaha untuk mengekang aktiviti ini demi kesejahteraan perairan negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial