KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kapal Korek Sri Banting di Sri Banting, Dengkil akan dibangunkan sebagai Taman Warisan Lombong Bijih Timah Negara dengan pembangunannya dijangka siap serta beroperasi sepenuhnya pada 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor Borhan Aman Shah berkata pembangunan taman warisan seluas 29.14 hektar berkenaan sebagai usaha merancakkan aktiviti pelancongan di negeri itu.
Beliau berkata pembangunan taman warisan itu akan bermula selepas usaha konservasi tinggalan kapal korek berusia 49 tahun itu dilaksanakan.
"Kapal korek itu ada berlaku kebocoran dan Majlis Perbandaran Sepang telah mengeluarkan tender bagi mencari kontraktor berpengalaman untuk proses membaik pulih.
"Setakat ini, ada tiga syarikat kontraktor yang berminat, namun kita masih lagi menunggu … kita lihat kerja ini agak rumit dan jangkakan proses baik pulih akan mengambil tempoh dua tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengkisahan Sejarah Kapal Korek di Malaysia, "Menghidupkan Kembali Sejarah Revolusi Industri Selangor" Kapal Korek Sri Banting, Dengkil @ Sepang di sini hari ini.
Beliau berkata selain menempatkan tinggalan struktur kapal korek, taman warisan berkenaan juga akan dilengkapi Muzium Bijih Timah, ruang perniagaan, tapak perkhemahan dan pelbagai aktiviti pelancongan lain.
"Pembangunan ini akan menjana ekonomi penduduk setempat dengan mewujudkan peluang pekerjaan baharu selain memberi tambah nilai kepada sektor perniagaan di sekitarnya. Ia juga akan menjadi pusat pembelajaran kepada pelajar sekolah dan pengkaji sejarah,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Datuk Abdul Hamid Hussain berkata kapal korek berkenaan akan dijadikan Living Museum yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR) seperti hologram serta sistem audio yang canggih.
Beliau berkata Kapal Korek Sri Banting ialah kapal korek terbesar di dunia dan menjadi simbol revolusi, kemegahan serta kemajuan industri perlombongan bijih timah di Selangor pada suatu masa dahulu.
"Kapal korek seberat 5,000 tan ini berukuran 86 meter (m) panjang dan 22 m hingga 29.3 m lebar, yang bergerak menggunakan elektrik, bersama-sama 110 bucket yang boleh menggerudi 30 m ke dalam tanah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial