EKONOMI

Mitec Menang Anugerah Wta Untuk Pusat Persidangan Dan Mesyuarat Terkemuka Dunia

04/12/2023 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) telah dinamakan sebagai Pusat Persidangan dan Mesyuarat Terkemuka Dunia 2023 pada Majlis Gala Grand Final World Travel Awards (WTA) 2023 yang berlangsung di Dubai setelah menewaskan 18 calon lain.

Ia juga menjadikan MITEC Malaysia sebagai tempat pertama yang dibina khas bagi mesyuarat, persidangan, pameran dan acara gaya hidup untuk memenangi Anugerah Dunia WTA sejak anugerah itu dimulakan pada tahun 1993.

“Pencapaian luar biasa ini mencerminkan bagaimana MITEC menetapkan penanda aras global dalam sektor itu, serta kekuatan industri bagi acara perniagaan di Malaysia. Komitmen seluruh pasukan MITEC menjadi inspirasi kepada kita semua,” kata Pengasas WTA Graham E. Cooke hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MITEC Mala Dorasamy mengaitkan pencapaian itu dengan dedikasi yang tidak berbelah bahagi daripada setiap kakitangan pasukan MITEC, ahli lembaga pengarah, pelanggan, penyedia perkhidmatan dan pihak-pihak berkepentingan.

Dengan ruang pameran dan konvensyen berkeluasan 52,000 meter persegi, MITEC ialah pusat pameran dan perdagangan terbesar di Malaysia. Tahun 2023 merupakan tahun yang paling sibuk untuk pusat itu sejak dibuka semula selepas COVID-19.

Perjalanan MITEC daripada berkhidmat sebagai pusat pemvaksinan mega pertama di Malaysia pada 2021 dan pembukaan semulanya sebagai tempat acara perniagaan dan gaya hidup pada 2022 dengan menganjurkan lebih 160 acara dan lebih tiga juta pelawat pada 2023 sememangnya patut dicontohi, kata kenyataan itu.

Tahun ini, MITEC menjana 550,000 jam kerja kasual dan RM7.2 juta dalam bentuk gaji kepada sektor ekonomi gig, memanfaatkan kebanyakan pelajar universiti dengan bukan sahaja membolehkan mereka memperoleh pendapatan tetapi juga mendapatkan pengalaman profesional yang bermakna dalam industri acara.

Calon-calon lain untuk anugerah itu adalah pemain utama dalam industri acara perniagaan antarabangsa termasuk pemenang WTA terdahulu seperti Pusat Konvensyen Las Vegas, ExCeL London, Pusat Konvensyen Nasional Qatar, Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura dan Pusat Konvensyen Dublin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan