BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | 
 AM

SELISIH FAHAM, MASALAH KEWANGAN ANTARA FAKTOR BERLAKU KEGANASAN RUMAH TANGGA DI PAHANG

04/12/2023 02:36 PM

KUANTAN, 4 Dis (Bernama) -- Selisih faham, masalah kewangan dan anak selain cemburu merupakan antara faktor berlakunya keganasan dalam rumah tangga di Pahang, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Sabariah Saidan. 

Beliau berkata sebanyak 384 laporan polis telah diterima sejak 2022 hingga Jun lepas dengan faktor perselisihan faham merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 296 kes selain masalah kewangan (38 kes), mabuk dan penyalahgunaan dadah masing-masing 13 kes serta cemburu (lima kes). 

Beliau berkata sebanyak 253 keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang tahun lepas dengan daerah Kuantan mencatatkan rekod kes tertinggi iaitu 84 kes, Bera (29), Maran (28), Temerloh (27), Pekan (17), Kuala Lipis (16), Bentong (15), Rompin (14), Raub (11), Jerantut (10) dan Cameron Highlands (dua). 

Bagi tahun ini setakat Jun, sebanyak 131 kes telah diterima dengan Kuantan merekodkan 41 kes, Maran (15), Temerloh (13), Rompin (11), Jerantut (12), Bera dan Bentong masing-masing 10 kes, Pekan (tujuh), Kuala Lipis (enam), Raub (lima) dan Cameron Highlands (satu).

"Langkah yang diambil kerajaan untuk membendung isu ini berlaku melibatkan pelbagai pendekatan antaranya aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia menerusi pencegahan dan pemulihan," katanya.

Sabariah berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini bagi menjawab soalan Woo Chee Wan (PH-Mentakab) yang ingin tahu jumlah kes, faktor dan langkah diambil kerajaan untuk membendung keganasan rumah tangga. 

Mengenai langkah pencegahan, beliau berkata kempen kesedaran keganasan rumah tangga menggunakan platform ceramah, forum hebahan dan berkaitan telah diadakan selain memberi pelindungan yang sewajarnya kepada mangsa keganasan rumah tangga seperti perintah perlindungan kecemasan (EPO). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan