KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Hasil pemantauan melalui Sistem Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) yang dipasang di perairan negara dalam tempoh 1 Okt hingga 30 Nov lepas mendapati tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pemantauan itu dilaksanakan susulan pelepasan air terawat oleh kerajaan Jepun dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.
Beliau berkata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah membuat kesimpulan bahawa pendekatan dan aktiviti untuk melepaskan air dirawat Advanced Liquid Processing Systems (ALPS) adalah konsisten dengan piawaian keselamatan antarabangsa yang berkaitan.
“IAEA dalam dapatannya melaporkan bahawa pelepasan air terawat ke laut adalah terkawal, dilakukan secara berperingkat dan mempunyai kesan radiologi yang boleh diabaikan kepada manusia dan alam sekitar.
“Namun begitu, sebagai langkah proaktif memastikan perairan Malaysia tidak terjejas, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi Jabatan Tenaga Atom melaksanakan pemantauan aras keradioaktifan di perairan negara secara berterusan melalui GSWMS yang dipasang di perairan negara di Jeti Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang bertanyakan mengenai status dan impak terhadap sebarang peningkatan paras radioaktif di perairan negara berikutan pelepasan air radioaktif dirawat daripada loji nuklear Fukushima yang menimbulkan kebimbangan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial