AM

Timbalan Perdana Menteri Timor-leste Tiba Untuk Lawatan Kerja Empat Hari

03/12/2023 10:13 PM

SEPANG, 3 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja empat hari ke Malaysia.

Pesawat komersial yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada 8.55 malam dan disambut oleh Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Mohd Aini Atan.

Lawatan kerja Kalbuadi Lay akan memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping menunjukkan sokongan padu Malaysia ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Kalbuadi Lay di Istana Negara pada Selasa.

Kalbuadi Lay akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof esok, bagi membincangkan status hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste serta isu-isu antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste yang juga Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar itu akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia iaitu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Berdasarkan rekod pada 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Timor-Leste adalah berjumlah RM384.48 juta (US$90.2 juta), dengan peningkatan sebanyak 93.3 peratus berbanding 2021 iaitu sebanyak RM194.09 juta (US$46.6 juta).

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan