DUNIA

Gunung Marapi Di Sumatera Barat Meletus, Muntahkan Abu Sejauh 3km

03/12/2023 10:03 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 3 Dis (Bernama) -- Gunung Marapi, gunung berapi paling aktif di Pulau Sumatera, meletus pada 2.54 petang (waktu tempatan) hari Ahad, menyebabkan hujan abu di daerah Agam di Sumatera Barat dan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG) melaporkan letusan itu memuntahkan abu mengandungi bahan gunung berapi sehingga tiga kilometer (km) dari kawah puncak, diiringi bunyi gemuruh.

Peningkatan aktiviti gunung berapi di gunung setinggi 2,891 meter itu berterusan sejak awal tahun ini dan status amaran ditetapkan pada tahap dua.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Abdul Muhari berkata tidak ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerugian harta benda dan aktiviti masyarakat tidak terjejas.

Menurut seorang pegawai di agensi operasi bencana di Agam Ade Setiawan hujan abu gunung berapi berlaku di Nagari Lasi, mukim Canduang.

"Hujan abu gunung berapi agak tebal dan gelap tetapi ia kini mula berhenti," tambahnya.

Pihak berkuasa tempatan menasihatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka semasa keluar rumah, membersihkan bekalan air dan bumbung daripada abu gunung berapi untuk mengelakkan ia runtuh.

Gunung Marapi meletus pada 8 Sept 1830, dan sekali lagi pada 30 April 1979 menyebabkan sekurang-kurangnya 60 kematian.

Ia menunjukkan peningkatan aktiviti dari akhir 2011 hingga awal 2014 dan meletus pada 26 Feb 2014, mengeluarkan bahan gunung berapi ke Agam dan Tanah Datar.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan