EKONOMI

Maybank Lancar Rangka Kerja Kewangan Transisi Di Cop28 Dubai

03/12/2023 08:29 PM

Daripada Anas Abu Hassan

DUBAI, 3 Dis (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) hari ini melancarkan Rangka Kerja Kewangan Transisi yang pertama oleh bank Malaysia pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di sini.

Kewangan transisi merujuk kepada pembiayaan sektor intensif pelepasan atau aset untuk mengurangkan pelepasan karbon dan seterusnya mengelakkan hasil perubahan iklim yang teruk, kata Maybank dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menjadi jelas bahawa tiada negara, sektor atau syarikat mampu mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih dan iklim dengan kewangan hijau sahaja, kata kenyataan itu.

Rangka kerja menggariskan pendekatan Maybank untuk mengklasifikasikan dan mengiktiraf penyelesaian yang dianggap sebagai kewangan transisi yang boleh dipercayai.

Ia juga membimbing pembangunan penyelesaian kewangan transisi yang boleh dipercayai dalam kumpulan berdasarkan garis panduan dan prinsip yang diterima di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Kemampanan Maybank Shahril Azuar Jimin berkata dokumen itu mengukuhkan komitmen Maybank untuk memainkan peranan utama dalam transformasi sistematik ke arah ekonomi pelepasan karbon sifar bersih.

"Kami berharap ia menghasilkan perbualan terbuka dan pembangunan produk dalam ruang kewangan transisi," katanya pada majlis pelancaran yang disaksikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour.

Menurut Nik Nazmi, inisiatif itu penting kerana rangka kerja itu menyediakan pembiayaan untuk sektor coklat terpilih dengan laluan atau penyelesaian peralihan yang boleh dipercayai seperti hidrogen, tenaga bio serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.

Dijajarkan dengan lebih daripada 12 prinsip, piawaian dan garis panduan antarabangsa, rangka kerja ini melengkapkan Rangka Kerja Produk Lestari kumpulan, pertama kali dibangunkan oleh bank Malaysia dan dilancarkan pada Ogos 2022.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan