AM

Asnaf Bestari Lzs: Ibu Tunggal Bangkit Bina Keluarga Selepas Kematian Suami

03/12/2023 04:25 PM

SHAH ALAM, 3 Dis (Bernama) -- Semangat seorang ibu tunggal, Yusma Yunus, mengikuti program bimbingan keusahawanan anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas kematian suami akibat kanser usus pada 2008 membuahkan hasil apabila beliau kini bergelar usahawan wanita berjaya.

Wanita berusia 54 tahun itu, yang merupakan usahawan makanan sejuk beku, adalah penerima Anugerah Khas-Asnaf Bestari 2022 sempena Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2023 anjuran LZS di sini hari ini.

Ibu kepada empat anak berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun itu berkata beliau terhutang budi kepada pihak LZS yang banyak membantu keluarganya terutama dari segi tajaan pendidikan dan bimbingan perniagaan.

"Bukan mudah untuk bangkit selepas kematian suami di samping anak-anak yang masih kecil namun saya bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang memberikan sokongan, sanggup menjaga anak-anak ketika saya menghadiri kursus anjuran LZS," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Yusma berkata sejak bergelar asnaf, pelbagai bantuan diterima termasuk dari segi pendidikan, perniagaan dan baik pulih rumah selain van yang disumbang oleh Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).

"Pada awal-awal dahulu, LZS beri bantuan pendidikan dan hari raya. Selepas saya menyertai kursus, saya terima bantuan perniagaan dan betul-betul fokus dalam bidang ini pada 2016.

"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan, perniagaan saya semakin maju dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan namun banjir pada 2021 menyebabkan banyak barangan musnah tetapi dengan bantuan pantas LZS, saya kembali bangkit hingga ke hari ini," katanya yang kini adalah pembayar zakat dan Penolong Amil Kariah LZS selepas keluar daripada status asnaf pada Disember 2022.

Yusma berkata dengan bantuan LZS, tiga daripada anaknya berjaya meyambung pengajian hingga ke menara gading manakala seorang lagi memilih untuk meneruskan legasi perniagaan beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini pula berkata sepanjang tahun ini, lebih 2,000 asnaf dibantu oleh pihaknya menerusi program keusahawanan termasuk dari segi modal dan latihan.

“LZS kini telah menyantuni lebih 68,000 keluarga asnaf, fakir dan miskin serta lebih 6,000 individu mualaf di Selangor.

"Angka ini dijangka terus meningkat pada tahun-tahun akan datang dan berdasarkan analisis Jabatan Perangkaan, menjelang tahun 2030 bilangan keluarga asnaf di Selangor akan mencecah sebanyak 157,000,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan