EKONOMI

Syarikat Makanan, Minuman Nara Mahu Jadikan Malaysia Batu Loncatan Ke Pasaran Asean

03/12/2023 10:29 AM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Nara melihat Malaysia sebagai pasaran besar untuk produk makanan Nara di rantau Asean kerana pasarannya yang besar dengan pelbagai budaya.

Ketua Pengarah JETRO Nara, Mikiko Kigawa berkata ia akan menerokai Malaysia terlebih dahulu sebelum memasuki negara Asean yang lain.

"Kami melihat potensi permintaan yang kukuh untuk produk Nara dengan asas berbilang kaum dan budaya," katanya kepada Bernama semasa Pameran Makanan Nara yang pertama kali diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini dari 17 hingga 26 Nov. Pameran itu juga berlangsung di Pulau Pinang dari 20 Nov hingga 2 Dis.

Ia menampilkan pelbagai produk makanan dan minuman daripada tiga syarikat dari daerah Nara.

Kigawa menjelaskan bahawa ibu kota pertama Jepun terletak di Nara dan ia adalah tempat kelahiran budaya Jepun. Sake dan banyak lagi masakan tempatan berasal dari daerah ini.

"Kami berharap dapat melibatkan lebih banyak syarikat makanan dan minuman dalam pameran makanan yang akan datang," kata Kigawa.

Hidetoshi Takigawa, Pengurus Besar Jabatan Jualan di Yamato Honey Co. Ltd., syarikat pengeluar kopi, matcha dan minuman ringan yang berpangkalan di Nara berkata Nara menawarkan banyak produk pertanian dan perladangan. Kebanyakannya adalah barangan khusus dan semula jadi daripada syarikat yang lebih kecil.

"Syarikat-syarikat ini berhasrat untuk meneroka ke luar negara," katanya kepada Bernama di pesta makanan di Kuala Lumpur.

Yamato Honey mengedarkan kopi pekat, bahagian matcha dan barangan minuman lain di beberapa kedai runcit di Malaysia sejak tahun ini dan syarikat itu menyasar mendapatkan pensijilan halal di Malaysia dua tahun dari sekarang, kata Takigawa.

Sementara itu, Pengarah Jualan Nishiki Soysauce Co. Ltd. Sakae Ohgata berkata syarikat pengeluar kicap itu telah memperkenalkan rangkaian sos yang dibuat daripada resipi vintaj daripada pengasas keluarga Ohgata.

"Rangkaian kicap kami juga termasuk barangan mesra Muslim yang diperoleh daripada bahan organik," kata Ohgata.

Syarikat itu berpangkalan di Ikaruga, Nara, sebuah bandar bersejarah dengan banyak kuil termasuk tapak Warisan Dunia UNESCO Kuil Horyuji.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan