EKONOMI

Citaglobal, Tiza Laksana Jda Dengan Masdar Bagi Projek Ladang Solar 2gw Bernilai Us$2 Bilion

01/12/2023 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Konsortium Citaglobal Bhd dan TIZA Global Sdn Bhd telah melaksanakan Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) 40:60 dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) bagi projek ladang solar 2-gigawatt (2GW) di Pahang bernilai US$2 bilion (RM9.75 bilion).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Citaglobal berkata syarikat itu menerima sokongan penuh daripada kerajaan negeri Pahang untuk membangunkan dan melaksanakan projek tenaga boleh baharu (TBB) di negeri itu, terutamanya berkaitan dengan kelulusan tanah.

“Projek ini melibatkan cadangan pembangunan TBB sehingga 2GW di Pahang, yang akan menyaksikan pembinaan tatasusunan solar yang ditempatkan di atas tanah, ladang solar terapung dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang meliputi pelbagai tapak seperti tanah bersesuaian, empangan, tasik dan perimeter luar pesisir di seluruh Pahang.

“Projek ini akan dibangunkan menerusi pelbagai fasa dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Pada peringkat ini, Citaglobal dan TIZA akan memegang 40 peratus kepentingan ekuiti penyertaan dalam projek 2GW ini, manakala 60 peratus lagi oleh Masdar. Setiap entiti yang terlibat akan bertanggungjawab untuk membiayai bahagian masing-masing bagi kos pembangunan projek mengikut kadar pegangan. Kos pembangunan awal projek akan ditentukan kemudian.

Menurut Citaglobal projek 2GW adalah sebahagian daripada projek TBB 10GW, dengan memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Masdar dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 9 Okt 2023.

“Sebagai sebahagian daripada MoU itu, Masdar membentuk kerjasama strategik dengan MIDA dan komited kepada pelaksanaan projek tenaga bersih 10GW di Malaysia dengan jumlah pelaburan US$8 bilion,” katanya.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata JDA berkenaan membuktikan komitmen kedua-dua pihak yang bertekad menjadikan projek 2GW satu realiti dan kejayaan.

“Bersama-sama Masdar, kami yakin berupaya mencapai kemajuan lebih pesat menuju sasaran iklim kami, selain memenuhi keperluan tenaga jangka panjang Malaysia dengan cara yang bertanggungjawab dan kos cekap,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan