AM

KUIL SRI MAHA MARIAMMAN LADANG SUBANG SUMBANG RM10,000, BANTU RAKYAT PALESTIN

01/12/2023 10:23 PM

SUBANG JAYA, 1 Dis (Bernama) -- Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Kuil Sri Maha Mariamman Ladang Subang, di sini menyumbang RM10,000 kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim zionis Israel.

Presiden persatuan K.Vijayan berkata jumlah sumbangan yang dikutip selama dua bulan itu merupakan hasil derma masyarakat di sekitar kawasan Ladang Subang.

"Kita lihat banyak kalangan wanita dan kanak-kanak yang menderita di bumi Palestin, jadi kita cuba sedaya upaya membantu mereka tanpa mengira bangsa dan agama kerana kita semua adalah manusia," katanya kepada Bernama selepas sidang media penyerahan sumbangan dana kepada AAKRP di Kuil Sri Maha Mariamman Ladang Subang, di sini hari ini.

Menurut Vijayan persatuan itu yang julung kali memberikan sumbangan bersifat kemanusiaan, akan terus mengumpul dana pada masa akan datang untuk membantu rakyat Palestin.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri Datuk Zahairi Baharim berkata bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan yang seterusnya akan mula dihantar ke Palestin pada pertengahan bulan ini.

"Insya-Allah dengan sokongan semua pihak kita akan berusaha menghantar muatan lebih besar menggunakan pesawat besar yang boleh membawa muatan seberat 60 tan," katanya dalam sidang media itu. 

Beliau berkata barangan tersebut yang kini dalam proses pembungkusan terdiri daripada ubat-ubatan dan keperluan musim sejuk kerana Palestin akan beralih ke musim sejuk tidak lama lagi.

Ditanya mengenai larangan kemasukan barangan ke Palestin, beliau menjelaskan kerajaan Mesir tidak pernah menutup pintu masuknya ke Gaza sepanjang krisis Palestin-Israel tercetus, namun pintu masuk tersebut berhadapan dengan sekatan.

"Sekatan itu disebabkan pada peringkat awal pintu di sebelah Gaza telah dibom Israel dan ia memerlukan masa untuk pembaikan," katanya

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan