JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Tolak Rayuan Dua Lelaki Untuk Kebenaran Memulakan Semakan Kehakiman

01/12/2023 06:22 PM

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dua individu yang memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar budi bicara Peguam Negara dalam memutuskan untuk tidak mendakwa dua penceramah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan Firdaus Wong Wan Hung kerana didakwa menghina penganut agama Hindu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa S. Sivakumar dan M. Rajasegaran gagal memenuhi syarat untuk kebenaran yang diberikan untuk mereka memulakan semakan kehakiman.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk See Mee Chun dan Mohamed Zaini Mazlan.

Dalam keputusan sebulat suara mahkamah yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Azizah berkata Peguam Negara dalam membuat keputusan, bukan sahaja merujuk kepada hantaran di media sosial tetapi juga kepada laporan polis dan kertas siasatan sebelum memutuskan sama ada untuk mendakwa kedua-dua mereka atau tidak.

“Peguam Negara, yang menjaga kepentingan awam, perlu bertindak bukan sahaja berdasarkan undang-undang dan prinsip undang-undang tetapi juga mengenai perkara yang berkaitan dengan dasar awam dan keselamatan negara,” katanya.

Hakim Azizah berkata walaupun kuasa Peguam Negara boleh dikaji semula, budi bicaranya (Peguam Negara) di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, sebagai dasar, masih tertakluk kepada penelitian yang lebih tinggi.

Sivakumar dan Rajasegaran membuat laporan polis terhadap Muhammad Zamri dan Firdaus antara 2018 dan 2019 kerana didakwa menghina orang bukan Islam, khususnya yang beragama Hindu melalui hantaran Facebook atau video Youtube. Mereka mendakwa walaupun terdapat banyak laporan polis, Peguam Negara gagal untuk memulakan pertuduhan jenayah terhadap Muhammad Zamri dan Firdaus.

Dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman, mereka memohon pengisytiharan bahawa keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Muhammad Zamri dan Firdaus seperti yang direkodkan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 26 April 2021 adalah tidak sah.

Mereka juga meminta perintah mandamus untuk mengarahkan Peguam Negara memulakan prosiding jenayah terhadap kedua-dua penceramah itu.

Kedua-duanya mendakwa dalam prosiding berasingan yang melibatkan permohonan anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap Muhammad Zamri dan Firdaus, pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Majistret bahawa polis telah mengklasifikasikan laporan polis terhadap Muhammad Zamri dan Firdaus sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Pada 12 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran kedua-dua mereka.

Peguam T. Gunaseelan mewakili Sivakumar dan Rajasegaran manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi mewakili Peguam Negara.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan