AM

Aroma Brownies Jadi "peneman'' Dr Nurul Hana Raih Phd

30/11/2023 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Usaha tangga kejayaan. Begitulah perumpamaan yang dapat digambarkan mengenai kegigihan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nurul Hana Zainal Baharin yang sanggup melakukan pelbagai pekerjaan sampingan bagi menampung yuran pengajian untuk bergelar Doktor Falsafah (PhD).

Dalam kenyataan dikeluarkan UPM hari ini, memaklumkan wanita berusia 32 tahun itu antaranya sanggup membakar brownies setiap hari untuk menjana pendapatan harian sepanjang menjadi mahasiswi bagi pengajian PhD Mikrobiologi Perubatan sepenuh masa.

“Aroma dari brownies menjadi peneman saya untuk membaca jurnal, menyiapkan kertas kajian serta disertasi. Kebiasaannya saya akan mula masuk dapur pada 8 malam setelah pulang menjadi guru kelas tambahan sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Ada kalanya saya membakar brownies sehingga 3 pagi terutamanya apabila mendapat tempahan yang banyak kerana ketuhar saya tidak besar selain dulang hanya ada lima dan pernah juga tidak tidur demi menyiapkan tempahan pelanggan,” kata Dr Nurul Hana, memetik kenyataan itu.

Dr Nurul Hana antara graduan pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 yang berlangsung pada 25 Nov hingga hari ini.

Sepanjang lebih empat tahun dalam pengajian PhD itu, Dr Hana telah menjual lebih 3,000 brownies meraih pendapatan kira-kira RM1,000 hingga RM2,000 sebulan dengan memanfaatkan sepenuhnya perniagaan secara dalam talian.

Selain menjadi seorang penjual brownies, anak kelahiran Kluang, Johor, itu turut melakukan pelbagai lagi pekerjaan sampingan termasuklah mengambil upah semakan pruf, membantu kakak iparnya dalam penghantaran hadiah secara mengejut dan guru kelas tambahan bagi murid-murid sekolah.

“Selain itu, saya juga pensyarah sambilan untuk pelajar pendidikan jarak jauh di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara Shah Alam pada setiap hari Sabtu dan Ahad," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan