JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Ceo Didenda Rm30,000, Penjara Sehari Mengaku Tiga Pertuduhan Menipu

30/11/2023 08:36 PM

BUTTERWORTH, 30 Nov (Bernama) -- Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat teknologi maklumat didenda RM30,000 dan satu hari penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menipu berhubung kerja-kerja pembekalan peralatan keselamatan pada 2016.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Aziedy Abd Talib, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding hari ini, yang ditetapkan untuk perbicaraan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memperdaya kakitangan Mutiara.Com Sdn Bhd bagi mendorong bayaran berjumlah RM50,000 dan RM25,000 bagi kerja-kerja pembekalan peralatan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan pemasangan interkom bagi projek Pangsapuri Seri Bayu, Daerah Barat Daya.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Aziedy didakwa memperdaya kakitangan sama bagi mendorong bayaran sebanyak RM40,000 bagi kerja-kerja perkhidmatan “Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service” yang tertuduh mengetahui ia tidak benar.

Semua kesalahan itu dilakukan sekitar Mac hingga Oktober 2016 dan pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan