AM

Mardi Bangunkan Sop Penanaman Bawang Merah Tempatan

30/11/2023 06:53 PM

PUTRAJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) penanaman bawang merah tempatan bagi membolehkan tanaman itu ditanam dua atau tiga musim setahun.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata SOP itu adalah hasil inovasi menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) institut berkenaan sebagai garis panduan kepada usahawan tani bagi memastikan pengeluaran bawang berdaya maju serta menjana keuntungan.

“SOP ini dibangunkan sebagai satu garis panduan untuk pengeluaran yang efisien sekali gus memastikan penjanaan hasil yang optimum dan menguntungkan. Ia merangkumi penyediaan ladang, penyediaan benih, penanaman dan penuaian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata berpandukan SOP itu, sehektar tanah boleh ditanam hingga 250,000 pokok yang mampu menghasilkan hingga enam tan metrik bawang selain hanya memerlukan tempoh penanaman antara 60 dan 75 hari semusim.

Menurutnya MARDI juga telah mengeluarkan biji benih bawang dalam persekitaran terkawal untuk mencapai objektif penghasilan benih tulen.

Mohamad Zabawi berkata pihaknya juga sedang giat menyediakan benih asas bawang merah secara skala besar bersama usahawan pengeluar yang dilantik untuk memenuhi keperluan penanaman bawang segar tempatan.

“Sebagai langkah awal mengkomersialkan pengeluaran bawang merah, MARDI akan meluaskan tanaman benih asas bawang merah secara berperingkat mulai tahun ini dan tahun depan di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara, dengan anggaran hasil benih dijangka mencapai 16,000 kilogram setahun,” katanya.

Beliau berkata usahawan yang dilantik akan dibimbing menerusi kursus dan latihan serta dibekalkan dengan benih bawang secara percuma untuk musim pertama pengeluaran.

“Kami berharap aktiviti pengkomersialan pengeluaran bawang dapat ditingkatkan setiap tahun mulai tahun depan, dengan menyasarkan pengagihan benih seluas lima hektar dan anggaran hasil pengeluaran bawang segar sebanyak 30 tan metrik semusim,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan