AM

Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif Bakal Tingkat Pampasan Pekerja - Rafizi

01/12/2023 12:29 AM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif akan menjadi satu daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan gaji penengah pekerja sekali gus meningkatkan kadar bahagian pampasan pekerja (CE), dalam tempoh berbaki Rancangan Malaysia ke-12 serta tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kadar CE berada pada paras 32 peratus tahun lepas ekoran pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan. 

“Pada masa yang sama juga, COVID-19 juga menyebabkan kenaikan gaji tidak dapat berlaku seperti tahun-tahun sebelumnya kerana keutamaan syarikat-syarikat dan majikan adalah untuk memastikan mereka ada aliran tunai yang mencukupi untuk bertahan.

“Pilihan pada ketika itu sama ada membuang pekerja atau memastikan mereka terus dapat bekerja tetapi gajinya tidak naik,” beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Rafizi menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya-PN) mengenai pendekatan yang akan digunakan kerajaan bagi memastikan sasaran kadar CE daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus pada 2025 dapat dicapai. 

Rafizi berkata sebanyak 17 anjakan besar juga telah dikenal pasti bagi tujuan meningkatkan CE, antaranya penekanan kepada industri nilai tinggi pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan digital serta elektrik dan elektronik. 

Menurut beliau inisiatif-inisiatif tersebut amat penting untuk menggalakkan peralihan aktiviti ekonomi kepada rantaian nilai yang lebih tinggi, selain berupaya menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dalam industri berintensifkan pengetahuan, bertujuan mewujudkan pekerjaan mahir yang menawarkan pendapatan tinggi. 

Selain itu, katanya kerajaan akan mula memperkenalkan dasar gaji progresif untuk mereformasi struktur gaji pekerja Malaysia dan sebagai pelengkap kepada dasar-dasar sedia ada iaitu gaji minimum dan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti (PLWS).

“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan gaji penengah pekerja dan seterusnya meningkatkan kadar CE agar pekerja mendapat upah yang lebih baik untuk mengimbangi kos sara hidup mereka,” kata Rafizi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan