EKONOMI

KUSKOP BERI PEMBIAYAAN RM5.19 BILION KEPADA 292,000 USAHAWAN - EWON

30/11/2023 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberikan pembiayaan berjumlah RM5.19 bilion kepada 292,000 usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi pada tahun ini, setakat semalam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata dalam tempoh sama KUSKOP juga melahirkan sebanyak 83,361 usahawan PMKS baharu.

Beliau berkata angka itu adalah tambahan kepada usahawan PMKS berdaftar sedia ada setakat Disember 2022 berjumlah lebih 1.17 juta. 

“Pada saya, lebih 83,000 usahawan baharu dilahirkan itu merupakan pencapaian yang besar,” katanya  ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia disiarkan RTM hari ini menerusi segmen Setahun Bersama Kerajaan MADANI: KUSKOP.

Ewon berkata KUSKOP turut melaksanakan beberapa inisiatif baharu tahun ini termasuk Skim Pembiayaan Usahawan Tamu yang dimulakan di Sabah dan Sarawak untuk peniaga kecil di tamu mingguan dan pasar malam. 

KUSKOP, katanya kini bercadang untuk mengembangkan skim tersebut di seluruh negara susulan sambutan memberangsangkan.

Beliau berkata menerusi kerangka Ekonomi MADANI, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan wawasan besar kepada KUSKOP untuk mengantarabangsakan industri PMKS negara dan menjadikannya jaguh serantau.

“Berdasarkan data KUSKOP, setakat Disember 2022 daripada 1.17 juta perniagaan PMKS yang berdaftar, 78 peratus adalah perusahaan mikro. Jadi tumpuan perlu diberikan untuk membina perusahaan mikro dan sederhana ini supaya boleh memberi impak yang besar bagi mencapai wawasan Perdana Menteri,” kata Ewon.

Beliau berkata KUSKOP akan memberi tumpuan untuk membangunkan industri berimpak tinggi dalam kalangan PMKS, memfokuskan kepada sektor aeroangkasa, pertanian pintar, peranti perubatan, elektrik dan elektronik, automotif, industri halal serta minyak dan gas.

Ewon berkata bagi mempersiapkan industri PMKS negara ke peringkat antarabangsa, KUSKOP menyediakan garis panduan pematuhan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk industri tersebut yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat.

“Ini memandangkan pasaran besar dunia seperti Amerika, Eropah, Jepun dan Australia mensyaratkan pematuhan ESG sebagai kriteria penting kemasukan untuk mana-mana produk dan perkhidmatan,” katanya.

Garis panduan itu katanya akan memberi impak besar kepada industri berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan