EKONOMI

Kxp: Perjanjian Dengan Tahira Air Untuk Tubuh Spv Baharu

30/11/2023 12:51 AM

ALOR SETAR, 29 Nov (Bernama) -- Perjanjian usaha sama antara KXP AirportCity Holding dengan Tahira Air Sdn Bhd adalah untuk menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) baharu bagi meneruskan pembangunan projek Kedah Aerotropolis.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor justeru berkata menerusi perjanjian itu Tahira Air bukan satu-satunya entiti yang akan membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), iaitu satu daripada komponen pembangunan dalam projek Kedah Aerotropolis.

"Kalau masyarakat lihat sekali imbas mereka kata syarikat itu tidak ada keupayaan kerana modal berbayar hanya RM2 juta, tetapi syarikat itu tidak beroperasi di Malaysia, (mereka) ada pejabat di sini tapi beroperasi di China. Syarikat itu mengendalikan kargo beratus tan setahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pada sidang DUN semalam, Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) meminta penjelasan daripada kerajaan negeri yang menandatangani perjanjian dan bekerjasama dengan Tahira Air bagi menubuhkan SPV baharu, sedangkan syarikat itu hanya mempunyai modal berbayar RM2 juta.

Muhammad Sanusi sebelum ini berkata perjanjian dengan syarikat SPV terdahulu dibatalkan berikutan kegagalan syarikat berkenaan mendepositkan RM2.5 bilion atau 125 peratus daripada anggaran kos pengambilan tanah bagi projek KXP.

Sementara itu Muhammad Sanusi memberitahu sidang DUN bahawa kerajaan negeri optimis kutipan hasil negeri pada tahun ini mampu mencapai sasaran RM600 juta, berbanding kutipan pada 2022 iaitu RM596 juta.

Ini katanya berikutan sehingga hari ini, dengan berbaki sebulan lagi, kutipan hasil negeri telah mencapai RM579.3 juta.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan