AM

Rapid Kl Nafi Berlaku Letupan Libatkan Tren Mrt

30/11/2023 12:21 AM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Rapid KL menafikan berlakunya letupan atau kebakaran melibatkan sebuah tren Transit Aliran Massa (MRT), laluan Kajang petang tadi seperti yang tular menerusi media sosial.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebaliknya kejadian itu hanyalah bunyi percikan api berpunca daripada sebuah tren bernombor 28 yang sebelum itu dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Taman Mutiara kerana menyebabkan ‘alarm’ atau amaran kepada sistem bekalan kuasa trek MRT di stesen berhampiran.

“Insiden menyebabkan atau menghasilkan ‘bunyi spark’ (bunyi percikan api) seperti yang dilaporkan. Bagaimanapun tiada sebarang letupan atau kebakaran.

“Atas faktor keselamatan, tren tersebut telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan penumpang telah diminta untuk menaiki tren berikutnya yang tiba di Taman Mutiara. Tren terbabit kemudian dibawa ke depoh selepas tamat waktu operasi bagi pemeriksaan terperinci,” menurut kenyataan itu.

Pada waktu kejadian, pegawai transit yang berada di dalam tren sentiasa memantau keadaan bagi memastikan tiada sebarang gangguan terhadap jadual perjalanan perkhidmatan tren MRT Laluan Kajang.

Terdahulu tular menerusi media sosial perkongsian pengguna MRT terbabit yang mendakwa berlaku letupan di tren terbabit sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan