EKONOMI

Kerugian Bersih Pharmaniaga Naik Kepada Rm49.39 Juta Pada Suku Ketiga

29/11/2023 10:30 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Kerugian bersih Pharmaniaga Bhd pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 naik kepada RM49.39 juta daripada RM13.99 juta yang dicatatkan pada suku tahun sama pada tahun lepas.

Perolehan susut kepada RM885.49 juta daripada RM894.94 juta sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat farmaseutikal itu berkata perolehan yang rendah itu didorong oleh penurunan jualan dalam perniagaan bukan konsesi yang ketara sebanyak 33.4 peratus, berikutan kehilangan pelaksanaan tender untuk produk kanser darah.

“Bagaimanapun, impaknya diimbangi oleh prestasi yang lebih baik dalam pasaran swasta dan segmen operasi di Indonesia,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan, kerugian bersih syarikat meningkat kepada RM44.73 juta daripada RM14.47 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lepas manakala perolehan merosot kepada RM2.615 bilion daripada RM2.618 bilion sebelum ini.

Dalam makluman berasingan, Pharmaniaga mencadangkan pengurangan modal bagi modal saham terbitan syarikat dengan pembatalan RM180 juta modal saham terbitan yang hilang dan/atau tidak diwakili oleh aset yang ada menurut Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

Pharmaniaga turut mencadangkan penempatan persendirian sehingga 714.29 juta saham Pharmaniaga yang baharu, mewakili sehingga 26.9 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan Pharmaniaga selepas cadangan terbitan hak dengan waran, kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti kemudian pada harga terbitan yang akan ditentukan kemudian.

Katanya cadangan itu adalah sebahagian daripada pelan penyusunan semula syarikat selepas mencetuskan kriteria di bawah Perenggan 2.1(a) Nota Amalan 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pharmaniaga dikatakan mempunyai ekuiti pemegang saham syarikat pada asas disatukan kurang daripada RM40 juta dan mewakili kurang daripada 25 peratus daripada modal saham terbitannya berdasarkan penyata kewangan yang belum diaudit untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022.

Bagaimanapun, katanya pelan penyusunan semula itu tidak akan menyebabkan perubahan yang ketara dalam hala tuju perniagaan atau dasar syarikat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan