AM

Menangani Hiperplasia Prostat Benigna, Masalah Tersembunyi Bagi Golongan Lelaki

29/11/2023 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Prostat merupakan kelenjar sebesar kacang walnut yang terletak pada pangkal pundi kencing dan menghasilkan cecair bagi melindungi dan menyuburkan sperma, manakala ototnya memastikan punci kencing tidak mengalami kebocoran.

 Bagaimanapun, organ penting ini boleh menimbulkan masalah apabila seseorang lelaki itu menginjak usia dan satu daripadanya ialah hiperplasia prostat benigna (BPH) atau pembesaran prostat.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, kira-kira 16 peratus lelaki Malaysia berusia lebih 40 tahun menghidap beberapa tahap BPH dan angka itu meningkat kepada 33 peratus dalam kalangan lelaki berusia 75 tahun dan ke atas.

Pakar Perunding Urologi dan Endourologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Christopher Lee Kheng Siang berkata BPH berlaku akibat pembesaran kelenjar prostat bukan kanser dan boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang lelaki akibat gejala urinari yang menyulitkan.

“BPH adalah penyakit yang mungkin menyebabkan sedikit ketidakselesaan dan kesukaran pada peringkat awal.

"Jika tidak ditangani sebaiknya, ia boleh menjadi semakin teruk yang dikenali sebagai pengekalan kencing akut yang mengakibatkan uretra menjadi tersumbat sepenuhnya sekali gus menyebabkan ketidakupayaan untuk membuang air kecil serta menimbulkan risiko kerosakan buah pinggang, jangkitan salur kencing dan pembentukan batu karang,” katanya dalam kenyataan sempena Movember yang disambut pada bulan ini bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan lelaki.

Kajian NHMS 2019 turut menguatkan lagi kenyataan Dr Christopher, dengan tiga daripada lima lelaki yang disahkan menghidap BPH mempunyai tahap kualiti hidup yang rendah dan mengalami masalah kencing tidak lawas.

Menurut Dr Christopher ramai lelaki menganggap gejala urinari itu sebagai sebahagian daripada proses penuaan semula jadi tanpa menyedari bahawa ia merupakan keadaan perubatan yang perlu diberi perhatian.

 “Jika anda tidak mengambil alkohol atau minum air berlebihan sebelum tidur, anda tidak sepatutnya terjaga di tengah malam untuk pergi ke bilik air,” katanya. 

Kerap membuang air kecil pada waktu malam, kesukaran menahan kencing, sukar untuk mula membuang air kecil kerana terhalang oleh uretra, aliran air kencing tidak lancar, kencing tidak lawas dan ketidakupayaan membuang air kecil antara beberapa gejala lain BPH yang dikenal pasti oleh Dr Christopher.

Beliau berkata pesakit yang merasakan mereka menghidap atau mengesyaki mereka mungkin menghidap BPH disyor melakukan ujian Skor Gejala Prostat Antarabangsa (IPSS) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi menilai gejala BPH dan tahap keseriusan penyakit itu.

Menurut Dr Christopher, lelaki berusia 40 tahun dengan mempunyai sejarah keluarga mengalami BPH, individu mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit jantung, masalah peredaran darah, diabetes jenis 2 atau kekurangan bersenam merupakan antara golongan berisiko untuk mendapat BPH, namun terdapat cara berkesan untuk menangani keadaan itu bergantung kepada tahap penyakit.

Bagi gejala ringan, pengubahsuaian gaya hidup seperti mengawal pengambilan cecair serta mengurangkan pengambilan kafein boleh membantu meringankan gejala manakala bagi gejala sederhana, pengambilan ubat-ubatan boleh membantu melegakan otot prostat dan uretra atau mengurangkan saiz prostat secara beransur-ansur bagi membolehkan air kencing mengalir dengan lancar.

Sementara itu, bagi lelaki yang mengalami BPH lebih teruk atau mereka yang tiada kesan dengan ubat-ubatan, beberapa prosedur pembedahan yang berbeza boleh dilakukan dan pilihan yang terbaik bergantung kepada keadaan pesakit.

Rawatan pembedahan bagi kes BPH sederhana hingga teruk termasuk Reseksi Prostat Melalui Uretra (TURP), terapi wap air atau terapi gelombang mikro, laser enukleasi atau bipolar enukleasi pada prostat, prostatektomi robotik dan kaedah pembedahan robotik.

Dr Christopher berkata kaedah pembedahan robotik untuk merawat kes BPH yang teruk melibatkan inisisi kecil tidak melebihi satu sentimeter berbanding kaedah pembedahan tradisional melibatkan potongan sepanjang 15 hingga 20 sentimeter pada bahagian tengah abdomen dan dapat mengurangkan kesakitan dengan ketara serta mempercepat proses pemulihan pesakit.

Beliau berkata pesakit juga boleh meneruskan rutin harian mereka dengan lebih cepat berbanding kaedah pembedahan tradisional.

"Lelaki tidak sepatutnya menderita dalam senyap. Mereka perlu melakukan saringan dan mendapatkan rawatan yang sesuai untuk kembali kepada gaya hidup normal mereka.

“Tidak perlu menganggap gejala urinari sebagai sebahagian daripada proses penuaan yang tidak dapat dielakkan. Mendapatkan bantuan dan memahami pilihan rawatan yang ada merupakan cara yang bijak,” kata Dr Christopher.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan