AM

Mbpp, Mbsp Dipilih Sertai Rangkaian Global Bandar Berdaya Tahan - Zairil

29/11/2023 08:13 PM

GEORGE TOWN, 29 Nov (Bernama) -- Kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah dipilih untuk menyertai rangkaian global, Bandar Berdaya Tahan (R-Cities).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang telah menyertai R-Cities selepas Bandaraya Melaka. 

"R Cities merupakan sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang diterajui oleh bandar-bandar global yang menghimpunkan pengetahuan, amalan, perkongsian dan pembiayaan untuk memperkasakan sesebuah bandar serta membantu mereka membina masa depan yang selamat, saksama dan mampan untuk semua. 

"Buat masa ini, R Cities mempunyai keahlian dari hampir 100 bandar dan lebih 40 negara di seluruh dunia. Antaranya Bangkok, Jakarta, London, Melbourne, Nairobi, Rome dan Singapura," katanya pada sesi penggulungan Belanjawan 2024 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Zairil penyertaan Bandaraya Pulau Pinang dan Seberang Perai dalam R-Cities adalah penting dalam usaha mentransformasi negeri itu serta mengurangkan kerentanan terhadap masalah seperti banjir, kekurangan air dan wabak penyakit serta isu seperti kesesakan lalu lintas, pengurusan sisa, penuaan infrastruktur, dan cabaran tadbir urus.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi penekanan untuk menjadikan Bandaraya Pulau Pinang dan Seberang Perai sebagai bandar berdaya tahan terhadap iklim.

"Bandar berdaya tahan ialah bandar yang mempunyai keupayaan untuk menyerap, pulih dan bersedia untuk cabaran masa depan dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial. 

Usaha menjadikan bandar berdaya tahan ini penting bagi memastikan Bandaraya Pulau Pinang dan Seberang Perai kental daripada sebarang gangguan ekologi, ekonomi mahupun sosial dan akhimya menjadi sebuah bandar yang berdaya huni serta bersifat lestari," katanya.

Mengulas lanjut, Zairil berkata perancangan bandar pada hari ini tidak lagi hanya menumpukan aspek struktur dan pembangunan infrastruktur semata mata, malah ia perlu melihat keperluan penting aspek kemakmuran, mobiliti sosial dan daya tahan ekonomi. 

Sidang DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan