AM

PROGRAM JUALAN AGRO MADANI LEBIHI SASARAN NILAI JUALAN, DIMANFAAT LEBIH 6 JUTA ISI RUMAH

29/11/2023 08:56 PM

CHUKAI, 29 Nov (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan Program Jualan Agro MADANI melebihi sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini, iaitu sebanyak RM80.5 juta.

Pengerusinya Aminuddin Zulkipli berkata berdasarkan laporan pencapaian setakat 26 Nov, program yang dilancarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada April lepas itu, telah melebihi sasaran awal jualan untuk tahun ini iaitu RM39 juta atau 206 peratus.

“Angka tersebut berjaya dicapai menerusi pelaksanaan 4,429 program, walaupun sasaran jumlah program kita ialah sebanyak 5,000.

“Program yang memfokuskan kepada penawaran produk makanan asas utama ini juga setakat 26 Nov, sebenarnya telah memberi manfaat kepada 6.4 juta isi rumah dengan nilai penjimatan sebanyak RM24.1 juta,” katanya kepada Bernama selepas hadir ke program sama di Pasar Tani Kekal Kerteh, di sini hari ini.

Aminuddin berkata melihat kepada pencapaian tersebut, pihaknya akan melakukan kajian kebolehlaksanaan, untuk memastikan FAMA kekal berada dalam keadaan berkemampuan sebelum menyasarkan jumlah penjualan yang lebih besar untuk tahun hadapan.

“… sebab kita duduk dalam pasaran ini ia bukan ikut permintaan sahaja, tetapi bergantung kepada bekalan juga. Jadi, FAMA akan buat kajian sebelum bentangkan kepada kementerian untuk sasaran seterusnya, terutamanya dari segi bekalan.

“Sudah tentu masih ada ruang penambahbaikan yang boleh diambil dan sebab itu suka untuk kita kongsikan pencapaian ini, kerana ia akan menarik minat lebih ramai pengusaha dan pembekal untuk turut serta dalam jualan seterusnya,” katanya.

Program yang merupakan penjenamaan semula daripada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) itu, dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan