SUKAN

Piala Afc: Tfc, Central Coast Mariners Berkongsi Mata

29/11/2023 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Terengganu FC (TFC)  berkongsi mata dengan kelab Australia, Central Coast Mariners selepas terikat 1-1 dalam aksi Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini.

Keputusan di Stadium Central Coast Gosford itu menyaksikan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner kekal di tangga kedua dengan sembilan mata, satu mata di belakang The Mariners yang mengumpul 10 mata.

Pada aksi di tempat lawan itu, skuad Penyu mempamerkan semangat juang tinggi dengan menguasai keseluruhan babak pertama perlawanan melalui beberapa percubaan namun kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas tamat separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob menceriakan kem TFC apabila menjaringkan gol pada minit ke-53 namun kedudukan itu tidak kekal lama.

Tuan rumah yang tidak berputus asa akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Miguel Di Pizio pada minit ke-87.

TFC akan berdepan kelab Indonesia, Bali United pada aksi terakhir Kumpulan G pada 13 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan