KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Kerajaan diharap melaksanakan usaha lebih agresif dalam menarik pelabur bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) bagi memastikan sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050, dapat dicapai.
Senator Datuk Seri Mujahid Yusof berkata ini penting bagi memastikan negara mememperoleh pelaburan besar memandangkan Malaysia memerlukan sehingga RM1.3 trilion menjelang 2050 bagi mencapai sasaran itu.
“Selain di Malaysia, pelaburan tenaga bersih tahunan di seluruh dunia juga memerlukan sekitar US$4 trilion (RM18.7 trilion) menjelang 2030,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara hari ini.
Mujahid juga menyarankan kerajaan memperkenalkan insentif seperti bon ESG yang disokong usaha menepati syarat berkaitan oleh syarikat pengusaha dan institusi pengurusan aset selain menyediakan infrastruktur bagi amalan berkenaan.
“Bursa Malaysia dan Bank Negara Malaysia berperanan dalam mewujudkan persekitaran pelaburan yang menyokong peralihan tenaga supaya pelabur luar yakin dengan usaha Malaysia ke arah peralihan berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, Mujahid berkata konsep pelaburan bertanggungjawab sosial perlu dijadikan sebagai pengukur oleh semua pelabur yang berhasrat ke Malaysia, termasuk memperkenalkan lembaga piawaian kelestarian antarabangsa bagi meneliti bentuk perniagaan yang hendak didaftarkan serta mematuhi prinsip tenaga hijau.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan