EKONOMI

PENDAPATAN E-DAGANG M'SIA SUKU KETIGA NAIK 5.4 PERATUS TAHUN KE TAHUN KEPADA RM289.5 BILION

29/11/2023 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Pendapatan e-dagang Malaysia meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2023 kepada RM289.5 bilion daripada RM274.6 juta pada suku sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata bagi pertumbuhan suku tahunan, pendapatan e-dagang pada suku ketiga mengekalkan trend positif dengan peningkatan 3.2 peratus berbanding RM280.5 juta pada suku kedua 2023.

Beliau berkata pada 13 Oktober lepas, DOSM mengeluarkan penerbitan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) 2022 yang menyatakan TMK dan e-dagang menjana nilai ditambah RM412.3 bilion pada 2022 berbanding RM359.3 bilion pada 2021 dengan pertumbuhan 14.8 peratus.

“Sumbangan ICT dan e-dagang kepada ekonomi negara pada 2022 mencapai 23 peratus berbanding 23.2 peratus pada 2021, disumbangkan oleh nilai ditambah kasar Industri TMK pada 13.6 peratus, manakala e-dagang industri lain 9.4 peratus,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan penerbitan laporan Ekonomi Digital Malaysia 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Bagi pecahan pendapatan e-dagang mengikut segmen pasaran pada 2021, Mohd Uzir berkata hasil yang dijana daripada pasaran domestik mengatasi pasaran antarabangsa berjumlah RM932.7 bilion atau 89.9 peratus sumbangan.

Sebaliknya, sumbangan kepada pasaran antarabangsa berjumlah RM104.5 bilion, menyumbang 10.1 peratus, katanya.

Sementara itu, beliau berkata pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan menerusi perniagaan kepada perniagaan (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM713.1 bilion dengan sumbangan 68.8 peratus, diikuti perniagaan kepada pengguna (B2C) RM308.9 bilion (29.8 peratus) dan perniagaan kepada kerajaan (B2G) sebanyak RM15.2 bilion (1.5 peratus).

Mohd Uzir berkata perkhidmatan TMK yang terdiri daripada aktiviti penerbitan, perkhidmatan wayang gambar, video dan program televisyen, rakaman bunyi dan penerbitan muzik; pemprograman dan penyiaran, perkhidmatan telekomunikasi, pengaturcaraan komputer, perundingan dan aktiviti berkaitan serta perkhidmatan maklumat mencatatkan nilai output kasar RM182.2 bilion pada 2021, pertumbuhan 5.4 peratus berbanding 2020. 

“Selaras dengan pertumbuhan nilai output kasar, nilai input perantaraan turut meningkat sebanyak RM4.6 bilion (daripada RM82.9 bilion pada 2020) untuk mencatatkan RM87.4 billion, seterusnya menghasilkan nilai ditambah RM94.8 bilion pada 2021,” katanya.

Selain itu, pada 2021 sebanyak 93.8 peratus pertubuhan menggunakan komputer, manakala 90.6 peratus lagi mengakses Internet, katanya.

“Putrajaya kekal merekodkan kadar tertinggi penggunaan komputer dan Internet oleh pertubuhan, kedua-duanya mencatatkan 100 peratus.

“Pada 2022, peratusan penggunaan komputer oleh individu berjumlah 80.2 peratus dan akses kepada Internet 97.4 peratus. Putrajaya turut mencatat peratusan tertinggi penggunaan komputer dan akses kepada Internet oleh individu, masing-masing 97 peratus dan 99.9 peratus,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan