AM

Jualan Rahmah Harapan Rakyat Dapatkan Barangan Dapur Harga Murah

29/11/2023 04:42 PM

PADANG BESAR, 29 Nov (Bernama) -- Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi harapan rakyat untuk membeli barangan keperluan masing-masing pada harga murah, terutamanya sementara menunggu gaji setiap bulan.

Rata-rata pengunjung yang ditemui Bernama di Jualan Rahmah Bergerak berdekatan Masjid Ar-Ridza, Kampung Panggas di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping dekat sini hari ini memberitahu, mereka sentiasa ternanti-nantikan Jualan Rahmah itu.

Akma Abdullah, 30, seorang anggota Rela berkata dia salah seorang pembeli setia Jualan Rahmah dan sememangnya sering kali menunggu penganjuran jualan itu diadakan di sekitar kawasan tempat tinggalnya di Chuping, untuk membeli barangan keperluan dapur.

“Jualan Rahmah ini sangat berbaloi, saya ternanti-nanti sebab harga dia memang berbeza dengan pasar raya, memang menjimatkan kos dalam sebulan...saya akan tunggu jadual Jualan Rahmah, dan saya juga sanggup pergi di tempat lain kalau ada jualan di situ,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, seorang suri rumah Suhaini Ibrahim, 40, dari Kampung Panggas berkata Jualan Rahmah merupakan tempat pilihannya untuk membeli barangan keperluan pada harga murah, sementara menunggu suaminya mendapat gaji.

“Sementara tunggu gaji suami, memang Jualan Rahmah ini dapat kurangkan kos, memandangkan saya suri rumah sahaja, macam kita tengok Jualan Rahmah ini harga murah, sudah tiga kali saya pergi Jualan Rahmah di lokasi lain,” katanya.

Suhaini mengharapkan barangan dijual pada Jualan Rahmah itu diperbanyakkan lagi, seperti menjual barangan asas lain seperti sabun pencuci pakaian, memandangkan ia juga satu keperluan harian.

Sementara itu, seorang guru KAFA, Noor Fadzlina Hassan, 37, dia sangat menantikan Jualan Rahmah itu, disebabkan harga barangan keperluan dapur lebih rendah berbanding membeli di kedai runcit dan jadual jualan bermula sekitar pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari, membolehkannya membeli barang itu sebelum masuk bekerja sebelah petang.

“Sementara tunggu gaji memang ternanti-nantilah Jualan Rahmah ini, sebab kalau kita tengok harga beras (putih import) itu 5 kilogram (kg) baru RM13.50, kalau kita nak beli kat kedai pun, kalau 10kg dah lebih RM40,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan