JOHOR BAHRU, 29 Nov (Bernama) -- Seorang tekong darat dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran ‘Geng Otong’, antara tahun 2015 hingga 2020.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Zaheer Ali, 34, dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh ditangkap iaitu 4 Jun 2020.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa menjadi ahli kumpulan tersebut di Kota Tinggi antara 1 Jan 2015 hingga 4 Jun 2020, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 8.24 malam, 2 Jun 2020, satu laporan polis dibuat menerusi hasil risikan ke atas satu kumpulan jenayah terancang Geng Otong, yang diketuai seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Otong disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan keluar masuk pendatang asing warga Indonesia.
Pada 4 Jun 2020, tertuduh Mohammad Zaheer ditangkap pasukan polis kira-kira 6 petang di sebuah rumah di Batu 14 Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini, selain polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Oppo Reno daripadanya.
Hasil siasatan mendapati tertuduh terlibat secara langsung dalam penyeludupan migran dengan bertindak sebagai tekong darat kumpulan Geng Otong, yang mengatur perjalanan bot berlepas dan mengarahkan transporter untuk mengambil mana-mana pendatang asing untuk dihantar ke transit atau rumah penampungan.
Tertuduh turut mengaku mengambil bayaran sebanyak RM250 hingga RM350 bagi seorang pendatang asing, selain telah menguruskan kira-kira 10,000 pendatang asing untuk pulang ke Indonesia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faris Ab Jalil, manakala peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri mewakili tertuduh.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan