SUKAN

Teknologi Sukan Diperkembang Menerusi Sandbox

29/11/2023 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Teknologi dalam sukan akan terus diperkembang menerusi Sandbox Teknologi Sukan untuk memastikan kemajuannya dapat dimanfaatkan oleh semua jenis sukan di negara ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata inisiatif berkenaan membuka peluang kepada industri untuk mencari jalan memanfaatkan teknologi dalam sukan dengan penggunaan kos yang lebih rendah. 

“Penggunaan teknologi selalunya menelan kos yang tinggi…jadi institut pengajian tinggi digalakkan untuk guna platform R&D (penyelidikan dan pembangunan) mereka untuk bantu membangunkan teknologi sukan dengan kos lebih rendah berbanding sekarang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Sandbox Teknologi Sukan malam tadi.

Adam Adli berkata melalui inisiatif itu, Institut Sukan Negara (ISN) bakal dipertanggungjawabkan untuk terus memastikan adanya jaringan antara industri dan persatuan sukan dengan pihak luar yang boleh membantu dalam perkembangan tersebut.

“Saya kira satu langkah yang baik apabila sukan berteknologi tinggi seperti berbasikal contohnya kita boleh bawa (teknologi basikal) sehingga kepada penggunaan basikal tersebut dalam kejohanan temasya untuk kegunaan atlet kebangsaan,” katanya.

Sandbox Teknologi Sukan berperanan sebagai platform uji lari dan regulatori bagi pembangunan serta pengkomersialan produk dan program tempatan berkaitan teknologi dan inovasi sukan.

Ia selari dengan teras ketiga Visi Sukan Negara 2030 iaitu pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemangkin sukan.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak baru-baru ini, beliau berkata padang dijangka pulih menjelang aksi final Piala Malaysia pada 8 Dis ini.

Adam Adli berkata kerja pemulihan padang sedang giat dijalankan dengan beberapa kawasan yang terjejas telah pun mula ditampal semula dan hanya menunggu masa untuk ia kembali pulih.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan