EKONOMI

Inisiatif Bersepadu Menerusi Mifc Penting Pacu Pertumbuhan Kewangan Islam

29/11/2023 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Inisiatif bersepadu seperti meenrusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) penting dalam mengukuhkan struktur kewangan Islam di Malaysia dan membangunkan sektor itu selaras dengan agenda Ekonomi MADANI.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peranan MIFC yang bermula pada 2006 merupakan inisiatif oleh badan kawal selia pasaran kewangan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan bertujuan membangunkan sektor kewangan Islam di Malaysia melalui penglibatan industri dan kerajaan.

“Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan hala tuju bagi mempromosikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam utama di peringkat antarabangsa,” katanya di persidangan Dewan Negara, pada Rabu.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hatta Md Ramli mengenai kesediaan kerajaan untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewangan Islam yang lebih komprehensif bagi mengukuhkan lagi struktur kewangan Islam di Malaysia. 

Selain itu, selaras dengan pembangunan ekosistem untuk memacu fasa pembangunan seterusnya dalam mengukuhkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah bekerjasama untuk menubuhkan Majlis Kepimpinan MIFC pada 5 Okt, 2022, katanya.

“Majlis Kepimpinan MIFC ini berfungsi sebagai platform untuk menyediakan kepimpinan industri dalam usaha memperkukuh Malaysia sebagai pasaran global dan gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam.

“Majlis Kepimpinan MIFC dipengerusikan oleh Tan Sri Azman Mokhtar dan ahlinya terdiri daripada tokoh industri tempatan dan antarabangsa yang terkemuka disamping wakil daripada BNM dan SC,” katanya. 

Ahmad berkata sehingga kini, kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam terus diiktiraf di peringkat global dengan menduduki tempat pertama selama 10 tahun berturut-turut dalam ICD-Refinitiv Islamic Financial Development Indicator, seiring dengan pembangunan ekosistem kewangan Islam di Malaysia yang komprehensif dan semakin matang dengan peserta yang dinamik, berdaya tahan dan mampu mengeluarkan produk yang pelbagai.

Sementara itu, beliau berkata pembiayaan dan pinjaman patuh syariah sektor perbankan meningkat kepada 44.7 peratus pada 2023 berbanding 31.3 peratus pada 2015, dan 15.2 peratus pada 2010 manakala sektor perbankan konvensional pula berada pada 55.3 peratus pada 2023. 

“Dari segi data pasaran modal Islam, kini pasaran modal Islam membentuk 64.18 peratus dengan berjumlah RM2.4 trilion dan daripada 982 syarikat yang tersenarai, 804 syarikat patuh syariah manakala 178 konvensional. Dari segi takaful insurans Islam, pertumbuhan amat positif, dengan hanya 12.6 peratus pada 2010 manakala 2023 pada 24.8 peratus.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia menerajui pasaran sukuk global dengan syer pasaran 39 peratus. Seterusnya indeks kewangan islam, Malaysia berada di tempat pertama, Arab Saudi menduduki tempat kedua, Indonesia (ketiga), Bahrin (keempat), dan Kuwait (kelima),” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan