AM

KDN RANGKA RANG UNDANG-UNDANG JAGA KEBAJIKAN PESARA, BEKAS PEGAWAI POLIS

29/11/2023 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang merangka rang undang-undang bagi mengawal selia aspek kebajikan pesara dan bekas pegawai polis menerusi satu entiti secara lebih teratur.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata rang undang-undang itu masih di peringkat penelitian pegawai undang-undang KDN dan sesi libat urus dijangka dilaksanakan tahun depan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya dibentang di Parlimen.

“Rang undang-undang pesara dan bekas pegawai polis ini dijadikan punca kuasa untuk antaranya perkara berkaitan pendaftaran pesara dan bekas pegawai polis, sebagai mengawal persatuan pesara dan bekas pegawai polis serta menjadi punca kuasa untuk menjaga kebajikan mereka, ini yang penting," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai sama ada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai perancangan mewujudkan undang-undang bagi pesara polis seperti Akta Veteran 2012 bagi menjaga kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia. 

Shamsul Anuar berkata ia juga dapat menjamin penyaluran peruntukan bantuan kepada pesara dan bekas pegawai polis supaya lebih teratur dan berkesan berbanding situasi semasa. 

Menjawab soalan asal Shamsulkahar mengenai pecahan penerima bantuan bagi pesara dan bekas pegawai polis, Shamsul Anuar berkata sejak 2014 hingga 2022, sejumlah 13,864 permohonan bantuan telah diluluskan dengan implikasi kewangan kira-kira RM19 juta.

Beliau berkata 1,595 permohonan atau kira-kira RM1.29 juta pula akan dibayar pada tahun ini.

Katanya bantuan yang disalurkan adalah khairat kematian, bantuan perubatan, bantuan pergerakan dan pendidikan yang disalurkan melalui Tabung Amanah Warisan Polis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan