AM

Perak Negeri Pertama Wujudkan Teratak Kecemerlangan Komuniti Pertahanan Awam

28/11/2023 10:58 PM

IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Perak bakal menjadi negeri pertama mewujudkan Teratak Kecemerlangan Komuniti Pertahanan Awam pada tahun hadapan.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed berkata pemilihan Perak sebagai perintis inisiatif itu dibuat berdasarkan komitmen dan pelbagai kejayaan yang dicapai oleh anggota serta pegawai di negeri ini.

“Saya sangat berbesar hati memberikan amanah untuk APM Perak melaksanakan kajian atau menjadi perintis bagi mewujudkan teratak kecemerlangan untuk komuniti.

“Diharapkan apabila dilaksanakan di negeri ini dan mendapat pencapaian yang baik, kita dapat perluaskan ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah Reben Perkhidmatan dan Kecemerlangan APM kepada 102 warga APM Perak di sini hari ini.

Beliau berkata Teratak Kecemerlangan Komuniti Pertahanan Awam adalah merujuk kepada bagaimana APM negeri bersama-sama membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan orang ramai dalam mengendalikan insiden dan peralatan kecemasan.

Aminurrahim berkata pihaknya merancang untuk melaksanakan teratak kecemerlangan itu secara berperingkat di beberapa daerah bermula di Larut, Matang dan Selama memandangkan lokasi tersebut mempunyai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh bersama-sama menjayakan usaha itu.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 19 kenderaan darat baharu dibekalkan kepada APM Perak hari ini termasuk 12 motosikal, pacuan empat roda, ambulans dan kenderaan pentadbiran dalam meningkatkan kesiapsiagaan pasukan semasa operasi bencana dan banjir.

Selain itu, katanya 150 anggota Pasukan Respon Bencana Sokongan (PARAS) Perak sedia untuk digerakkan bagi membantu negeri lain dalam tugasan pengoperasian sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Menurutnya bagi negeri ini, sebanyak 286 kawasan panas banjir telah dikenal pasti dan APM Perak telah mengaktifkan Bilik Gerakan Operasi bermula 1 Nov lepas bagi menyelaras dan melaporkan situasi semasa serta pemantauan berkala di kawasan berisiko banjir di setiap daerah.

  -- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan