AM

Sabah Terima 141 Projek Pembangunan Persekutuan Bawah Rm50 Juta

28/11/2023 10:36 PM

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Sabah menerima 141 projek pembangunan Persekutuan bernilai bawah RM50 juta daripada pelbagai kementerian menerusi Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 dengan nilai keseluruhan RM1.635 bilion, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata 61 projek dengan kos RM8.967 juta mendapat pengecualian Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) terdiri daripada 60 projek Kementerian Kesihatan manakala satu projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.

"Sementara 15 projek yang bernilai keseluruhan RM316.563 juta diberikan pengecualian berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pelbagai kementerian Persekutuan yang lain selaku pihak agensi pemilik," katanya ketika mengulung perbahasan Belanjawan Sabah 2024 pada persidangan dewan di  sini.

AP182 merujuk kepada semua Jabatan Bukan Teknik hendaklah mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Teknik iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Jabatan Pengairan dan Saliran bagi melaksanakan semua projek kerja tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata senarai akhir projek dilaksanakan oleh Jabatan JKR Sabah adalah 65 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.3 bilion, dan daripada jumlah itu 44 projek dijangka ditender pada tahun ini sementara 21 projek lagi akan ditender tahun depan.

Beliau berkata setakat ini, 17 projek daripada 44 projek yang disenaraikan sedang dalam peringkat perolehan dengan kos perbelanjaan berjumlah RM824,200.

"Sebanyak sembilan projek telah ditender, satu dalam proses menunggu keputusan Lembaga Perolehan, empat akan ditender pada Disember ini dan tiga lagi dijangka akan ditender pada awal Januari tahun depan," katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif ketika menggulung perbahasan sama berkata setakat ini Sabah Net Sdn Bhd berjaya menaik taraf Internet di 607 lokasi premis kerajaan negeri iaitu 81 peratus dengan kelajuan minimum 100Mbps.

Beliau berkata penaiktarafan itu akan diteruskan di 393 premis secara berfasa yang dijangka siap dilaksanakan pada 2025.

"Sebanyak 12 daripada 31 pusat e-Desa juga telah dinaik taraf menggunakan gentian optik dengan kelajuan minimum 300Mbps dan baki 19 pusat ini juga akan dilaksanakan secara berfasa," katanya.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan hingga esok.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan