KUALA NERUS, 28 Nov (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah membangunkan sebuah aplikasi yang berupaya mengesan ketulenan buah melon manis Terengganu yang dinamakan sebagai MMT-UniSZA.
Ketua projek Dr Mohd Kamir Yusof berkata aplikasi ciptaan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Informatik dan Komputeran UniSZA itu menggunakan teknologi Komunikasi Medan Berdekatan (NFC) yang berupaya mengatasi masalah ketulenan sesuatu produk.
Beliau berkata dengan aplikasi tersebut, ketulenan melon manis Terengganu dapat diketahui dalam tempoh hanya beberapa saat dengan cara menyentuh peranti mudah alih pada tag NFC dan sekiranya melon manis tersebut adalah tulen maka sebuah maklumat yang terperinci akan dipaparkan pada skrin peranti mudah alih.
"NFC berperanan menyimpan data dan secara langsung berinteraksi dengan Pengkomputeran awan dan pelayan awan (Cloud Server) melalui peranti mudah alih. Data yang disimpan di NFC tag telah ditukar ke dalam bentuk encryption menggunakan symmetric encryption (blowfish) yang akan memastikan data tidak boleh disalin atau diubah suai oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Pembangunan Agropreneur Graduan (Projek Melon Manis Terengganu) yang dijalankan secara kerjasama antara UniSZA dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), di sini hari ini.
Mohd Kamir berkata aplikasi tersebut diharap bakal dapat mengelakkan aktiviti penipuan dalam kalangan penjual sekali gus menjamin keaslian melon manis Terengganu.
"Dengan aplikasi ini kita harap produktiviti melon di Ladang Agropreneur UniSZA di kampus Besut akan dilindungi dan terjamin keasliannya di pasaran bagi menembusi pasaran luar negara pada masa depan," katanya.
Beliau berkata UniSZA bercadang untuk meluaskan penggunaan aplikasi tersebut terhadap buah-buahan premium lain seperti durian Musang King dan mangga Harumanis pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial