AM

Sulaiman Cadang Transformasi Anak Syarikat Kerajaan Negeri Diberi Penekanan Serius

28/11/2023 03:31 PM

MELAKA, 28 Nov (Bernama) -- Transformasi anak syarikat kerajaan negeri Melaka perlu diberi penekanan serius agar ia tidak perlu lagi bergantung kepada suntikan modal daripada kerajaan negeri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bekas Ketua Menteri itu berkata satu pasukan kerja yang disertai Pegawai Kewangan negeri, agensi berkaitan serta individu berpengalaman luas perlu dibentuk bagi memantau prestasi anak syarikat kerajaan negeri agar ia mampu mengembalikan keuntungan kepada kantung kewangan negeri.

“Mana-mana (anak syarikat) yang tidak maju atau tidak berdaya saing perlu diberikan pengkhususan. Kalau perlu ditutup mesti ditutup dan kakitangan dipindahkan ke anak syarikat lain yang maju dan berdaya saing.

“Ahli lembaga pengarah pula mesti berwibawa dan menyokong pembangunan perniagaan dengan efektif serta mempunyai kepelbagaian umur dan jantina,” katanya ketika membahaskan Usul dan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata anak syarikat kerajaan negeri perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam menggiatkan usaha mereka untuk pulih daripada ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Katanya penyusunan semula dan peranan anak syarikat kerajaan negeri perlu dikongsi kepada rakyat secara berterusan dan semua usaha ini akan menyumbang kepada pelaksanaan visi kerajaan memulih ekonomi jangka pendek dan penyusunan semula struktur.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan