EKONOMI

Indeks Harga Pengeluar Malaysia Turun 0.3 Peratus Pada Oktober - Perangkaan

28/11/2023 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, turun 0.3 peratus (tahun ke tahun) pada Oktober 2023 selepas mencatatkan peningkatan 0.2 peratus pada September 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembuatan turun 0.7 peratus pada Oktober 2023 (September 2023: -0.8 peratus), membawa kepada penurunan dalam indeks keseluruhan bulan ini.

“Subsektor yang menyebabkan penurunan ini adalah pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-8.8 peratus), pembuatan produk makanan (-4.2 peratus) serta pembuatan bahan kimia dan produk kimia (-2.0 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan, Malaysia Oktober 2023 yang dikeluarkan pada Selasa.

Beliau berkata pada masa yang sama, indeks bekalan elektrik dan gas juga turun 0.5 peratus.

Sementara itu, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 3.8 peratus (September 2023: 3.2 peratus) disebabkan oleh peningkatan dalam indeks pengeluaran ternakan (4.3 peratus) dan penanaman tanaman kekal (3.8 peratus), katanya.

Beliau berkata sektor perlombongan juga mencatatkan peningkatan kecil 0.5 peratus pada Oktober 2023 berbanding 6.9 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (5.6 peratus), manakala indeks bekalan air meningkat sebanyak 1.0 peratus.

Mohd Uzir berkata pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan susut 0.3 peratus pada Oktober 2023 selepas mencatatkan peningkatan 0.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Pada asas bulanan juga, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya merekodkan tiada perubahan pada bulan ini, katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, barang siap menurun sebanyak 0.6 peratus dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen juga turun 0.2 peratus pada Oktober 2023.

Ketua Perangkawan berkata konflik di Timur Tengah, yang terbaru dalam kejadian yang luar biasa telah meningkatkan risiko geopolitik kepada pasaran komoditi global yang telah sedia tidak menentu.

Beliau berkata sebelum konflik meletus, harga tenaga telah meningkat pada suku ketiga 2023 berdasarkan indeks harga komoditi Bank Dunia, berikutan pemotongan bekalan minyak secara sukarela oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

“Walau bagaimanapun, setakat ini, kesan perang terhadap harga komoditi masih tidak berlaku. Harga minyak dan emas mungkin meningkat sedikit, tetapi kebanyakan harga komoditi kekal stabil,” katanya.

Beliau berkata sejarah menunjukkan peningkatan konflik menimbulkan risiko besar kepada harga komoditi, kerana boleh menyebabkan harga minyak dan komoditi lain melambung tinggi.

Menurut unjuran garis dasar dari Tinjauan Pasaran Komoditi oleh Bank Dunia pada Oktober 2023 juga, harga komoditi dijangka turun secara sederhana dalam beberapa tahun akan datang, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan