EKONOMI

TEKUN NASIONAL SALUR RM2.54 JUTA PEMBIAYAAN KEPADA 167 USAHAWAN ORANG ASLI SEJAK 2020

28/11/2023 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Tekun Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM2.54 juta kepada 167 usahawan Orang Asli sejak 2020 hingga Oktober 2023.

Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami berkata pembiayaan tersebut disalurkan menerusi Skim Pembiayaan Orang Asli (SPORA) yang diperkenalkan pada 2020 bagi menyediakan pembiayaan mikro kepada usahawan orang asli dengan mudah dan cepat.

“Skim SPORA menyediakan pembiayaan dengan nilai di antara RM1,000 hingga RM100,000.

“Usahawan orang asli yang memohon pembiayaan SPORA perlu mempunyai surat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai sebahagian daripada dokumentasi permohonan.

"Tekun Nasional juga sentiasa bekerjasama dengan pihak JAKOA bagi mempertingkatkan hebahan maklumat terhadap skim SPORA dalam kalangan usahawan orang asli,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Manolan Mohamad mengenai pembiayaan yang telah diberikan kepada usahawan orang asli dari 2020 hingga 2023.

Selain itu, Saraswathy berkata berkata terdapat 91 koperasi orang asli telah ditubuhkan dengan 12,072 orang ahli.

“Kementerian sudahpun cuba untuk membangunkan usahawan menerusi koperasi ini, sebagai contoh kita telah membantu mereka (usahawan orang asli) membuat hasil hutan sebagai hasil produk yang boleh di jual di pasar raya.

“Hasil produk orang asli dengan jenama tersendiri sudah mula dijual di pasar raya sekarang dan antara hasil produk mereka adalah petai dan hasil tani orang asli,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan