EKONOMI

Ringgit Dijangka Meningkat Kepada 4.40 Berbanding Dolar As Pada 2024 - Mier

27/11/2023 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Ringgit dijangka meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2024, terutamanya pada separuh kedua tahun berkenaan kepada paras 4.40, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Ahli lembaga MIER Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata antara faktor yang memacu ringgit untuk mengukuh berbanding dolar AS tahun depan adalah kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan kepada 8.0 peratus yang akan memberi hasil tambahan kepada kerajaan dan menambah baik kedudukan fiskal.

Beliau berkata ringgit telah merosot pada 2023 yang didorong pemintaan luaran lebih lemah, pertumbuhan ekonomi lebih perlahan di China serta peningkatan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

“Kedudukan ringgit telah menjadi aspek yang menjadi kebimbangan kami. Kita perlu mengendalikan perbezaan kadar faedah kita dan AS, malah semua negara lain,” katanya semasa sesi pembentangan Prospek Ekonomi Malaysia pada Persidangan Prospek Ekonomi Negara di sini hari ini.

MIER turut meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada julat 4.3 peratus hingga 4.6 peratus pada 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan