EKONOMI

Johor Pineapple Project Perkukuh Industri Nanas - Lpnm

27/11/2023 05:08 PM

JOHOR BAHRU, 27 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Johor Pineapple Project (JPP) dengan peruntukan sebanyak RM1 juta menerusi Belanjawan Johor 2024 bakal memperkukuh industri nanas di Johor sekali gus meningkatkan produktiviti pengeluaran buah-buahan negara.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sheikh Umar Bagharib Ali berkata dengan pembangunan projek tersebut yang menerapkan konsep mekanisasi agroteknologi, produktiviti pengeluaran nanas mampu ditingkatkan sehingga 334,000 metrik tan.

"Sesungguhnya Belanjawan Johor 2024 mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui LPNM untuk memperhebatkan lagi industri nanas negara.

"Pada 2024, Johor diperuntukkan RM3 juta oleh KPKM melalui LPNM selaku agensi bertanggungjawab bagi industri nanas negara. Justeru itu, keseluruhan projek pembangunan untuk Johor termasuk yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri adalah berjumlah RM4 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah itu akan digunakan bagi pembangunan enam projek atau program pembangunan sedia ada dan tambahan khas JPP yang menjadikan Johor bakal melaksanakan tujuh projek menjelang tahun depan.

Sheikh Umar berkata projek tersebut adalah Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi; Program Penerokaan Akses Pasaran Industri Nanas Global; Pengeluaran Benih Nanas; Program Pembangunan Industri Produk Nanas Berinovasi; Transformasi Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas; Program Pemerkasaan Fasiliti IAT Nanas (FIN) dan JPP.

Katanya, LPNM percaya belanjawan yang diperuntukkan ini adalah bertanggungjawab, responsif dan signifikan kepada bukan sahaja pemegang taruh industri nanas malah kepada rakyat Johor.

"LPNM juga berharap hubungan baik kerajaan negeri bersama LPNM dapat diperatkan lagi pada masa depan bagi memastikan Johor kekal relevan sebagai negeri utama pengeluaran nanas segar negara.

"Kesungguhan kerajaan negeri dalam menggariskan dasar dan polisi yang mesra kepada industri nanas amat dihargai dan LPNM mengucapkan penghargaan serta jutaan terima kasih," katanya.

Tambahnya pada tahun lepas, Johor merekodkan jumlah usahawan seramai 2,000 orang dengan keluasan tanaman 11,399 hektar yang merupakan 64 peratus daripada keluasan nanas negara sekali gus meletakkan negeri itu sebagai pengeluar utama nanas di Malaysia sehingga kini.

Khamis lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 berkata bagi meningkatkan produktiviti industri agromakanan dan merancakkan aktiviti eksport buah-buahan berpotensi, RM1 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan JPP melalui mekanisasi agroteknologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan